BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Hala tuju ekonomi Selangor tepat, KDNK naik saban tahun

Selangor berada di landasan tepat dalam menentukan hala tuju ekonomi lantaran kejayaan demi kejayaan dicatat pentadbiran negeri terutama dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengecilan defisit antara penunjuk penting, menurut ketua ahli ekonomi Bank Muamalat yang merujuk pengurangan RM120 juta dalam belanjawan tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Justeru, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan kedudukan kewangan Selangor baik, didorong kutipan hasil tinggi yang tentunya berkait rapat dengan kerancakan kegiatan ekonomi di negeri ini.

Setakat Oktober, negeri mencatat kutipan hasil RM2.218 bilion, kira-kira RM18 juta mengatasi sasaran awal bagi tahun ini iaitu RM2.2 bilion.

Selangor juga kekal sebagai penyumbang terbesar Keluaran Kasar Dalam Negara, kali ini mencatat 25.9 peratus yang menyaksikan sedikit peningkatan berbanding tahun sebelumnya 25.5 peratus.

Beliau juga merujuk pertumbuhan ekonomi pada tahap 5.4 peratus, melebihi kadar peringkat kebangsaan iaitu 3.6 peratus. Negeri juga memperoleh pelaburan RM35 bilion setakat Oktober, menghampiri sasaran RM50 bilion bagi tahun ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

“Nampak gaya, Kerajaan Selangor dari segi ekonominya dalam hala tuju betul,” kata Dr Mohd Afzanizam lagi.

Namun, Selangor berdepan dengan saingan Johor misalnya yang menawarkan pelbagai insentif demi menarik pelaburan luar. Justeru, beliau mencadangkan supaya kerenah birokrasi dikurangkan.

“Pelabur ini, kerenah dia nak cepat. Nak jimatkan masa dan kos. Masa itu sangat penting. Kalau ‘deal’ (capai persetujuan) hari ini, esok jalan terus. Di situ memerlukan kerjasama erat antara agensi terlibat.

“Lebih kepada menyusun birokrasi, prosedur dan pengakhirannya bila masuk pelaburan itu, berlaku secara cepat. Saya fikir itu tidak memerlukan kos tinggi pun. Tapi kena susunlah,” katanya.

Menyentuh tumpuan dalam belanjawan negeri pada tahun ini, beliau menjangka fokus utama terhadap kecerdasan buatan (AI) selain perhatian kepada prasarana pendidikan dan jaminan bekalan makanan.

Kepesatan pembangunan pusat data, sesuatu yang dianggapnya “tengah panas” di seluruh dunia, berupaya memperkukuh perkembangan AI di Selangor yang merancang membuka 17 lagi pusat sama menjelang 2025.

Bilangan itu tidak termasuk tiga pusat data di Cyberjaya hasil persefahaman dengan syarikat dari Singapura pada 2023 dan pusat data yang dibangunkan Google di Elmina Business Park dan dijadual siap pada awal 2026.

Namun, beliau mengingatkan penyediaan ekosistem pusat data itu penting bagi memastikan penggunaan elektrik dan air yang berintensiti tinggi tidak menjejaskan keperluan sektor lain.

“Sasarannya untuk mencapai 17 pusat data lagi, saiznya besar. Sudah pasti itu menuntut penggunaan yang besar juga dari segi penggunaan air dan elektriknya.

Bakat bumiputera

“Jadi, saya rasa perlu diberi penumpuan kerana kita mahu rai pusat data ini kerana hendak pakai AI tetapi pada masa sama, apa kesan kepada sektor lain perlu difikirkan,” katanya.

Beliau percaya sektor pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) juga diberi tumpuan penting lantaran lambakan pusat data memerlukan banyak tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Menggalakkan pengambilan kalangan bumiputera, bakat tempatan untuk menyelenggara pusat data. Ini membuka peluang (pekerjaan) kepada rakyat. Dari situ, kita bentuk limpahan ekonomi,” katanya lagi.

Dr Mohd Afzanizam yakin belanjawan negeri meneladani Belanjawan Madani 2025 yang menyediakan peruntukan besar bagi mengatasi kesenjangan pendapatan kelompok rakyat terbawah.

Kelompok isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, anak muda dan wanita dijangka mendapat perhatian dengan menikmati pelbagai bentuk bantuan. Golongan usahawan mungkin dibantu melalui geran padanan, geran pendigitalan atau latihan untuk meningkatkan daya saing.

Satu daripada inisiatif negeri yang menarik minatnya adalah Skim Smart Sewa yang dianggap beliau perlu dikembangkan lagi. Ini penting, katanya, berikutan purata gaji penduduk tidak setara harga rumah.

“Harga purata rumah di Selangor, Kuala Lumpur lagi mahal. Jika dibandingkan gaji dengan rumah, kemampuannya (rakyat) sangat-sangat rendah dan faktanya diakui Bank Negara Malaysia. Jadi, kalau kita sebut trend ramai yang sewa rumah, saya tidak terperanjat.

“Kita melihat negara maju sekalipun, di Scandinavia mereka cenderung untuk menyewa. Jadi menyewa ini bagaimana kita mahu raikan? Sekali lagi, ia memerlukan perundangan, pemantauan supaya pasaran sewa rumah adil dan telus, menjaga kepentingan kedua-dua pihak,” katanya.

Dr Mohd Afzanizam juga yakin Selangor mampu mendepani gelombang kemelesetan dunia yang lazimnya kitaran sedemikian berlaku setiap tujuh tahun, kali terakhir sewaktu pandemik Covid-19 pada 2020.

Menjelaskan negeri terdedah kepada ancaman ekonomi luaran, beliau menyifatkan penguncupan defisit sebagai langkah berjaga-jaga dengan membuat simpanan ketika ekonomi berkembang.

“Defisit semakin mengecil, mungkin dalam setahun dua, perbelanjaan berimbang boleh dicapai. Maksudnya, Selangor ada kewangan kukuh. Kalau berlaku kemelesetan, boleh disediakan bantuan untuk perniagaan, untuk rakyat terjejas,” katanya.


Pengarang :