Anggota Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membersihkan sampah yang tersangkut di laluan air di Bulatan Kayangan Seksyen 13 Shah Alam pada 12 November 2024. Foto MBSA
PBTSELANGOR

Hujan sejak awal pagi, skuad Pantas MBSA digerak pantau jalan dinaiki air

SHAH ALAM,12 NOV: Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan limpahan Sungai Damansara sekali gus menyebabkan beberapa jalan sekitar Seksyen U3 Subang Perdana di sini, dinaiki air.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata anggota skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) telah bergerak ke lokasi dan sedang berusaha mengawal keadaan.

“Air dari Sungai Damansara melimpah dan mengakibatkan kawasan di Seksyen U3 Subang Perdana mula dinaiki air namun taburan hujan tidak sekata menyebabkan ada yang mula surut.

“Selain itu, di Bulatan Kayangan juga dikesan sudah mula dinaiki air sedikit dan skuad Pantas sedang membersihkan laluan tersebut,” katanya dihubungi SelangorKini.

Dalam pada itu, beliau menasihati penduduk setempat supaya terus berhati-hati dan memantau kenaikan air di kawasan masing-masing berikutan hujan lebat.

“Patuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta untuk berpindah ke pusat penempatan sementara yang telah disediakan,” ujarnya.

Sebarang kecemasan atau bantuan segera akibat banjir boleh hubungi skuad Pantas di talian 03-55105811.

 


Pengarang :