KUALA LUMPUR, 7 NOV: Sebuah kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) petang tadi.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata kenderaan membawa muatan dua kereta perisai ADNAN daripada pasukan yang berpangkalan di Mentakab, Pahang, terbalik akibat kemalangan itu.
Beliau berkata ketika kejadian pada 4.48 petang, kenderaan berkenaan dalam perjalanan ke Gemas, Negeri Sembilan untuk tujuan latihan.
“Punca kemalangan masih dalam siasatan. Namun, tiada kecederaan kepada anggota mahupun orang awam dilaporkan. KPKP mengalami kerosakan,” katanya.
Dalam pada itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kemalangan berlaku di KM35.2 arah Barat dari Genting Sempah ke Gombak.
Jurucakap LLM ketika dihubungi berkata kedua-dua lorong kanan arah barat dan timur terhalang akibat kemalangan itu.
“Keadaan terkini setakat 8 malam, terdapat kesesakan lalu lintas sejauh tiga kilometer di lorong kanan arah barat manakala di lorong kanan arah timur pula kesesakan sepanjang satu kilometer. Ini susulan kerja-kerja pembersihan dan pengalihan treler giat dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya akan menubuhkan lembaga siasatan bagi menyiasat punca sebenar kemalangan berkenaan.
“Kenderaan tersebut dalam perjalanan secara konvoi sebanyak enam KPKP yang membawa 12 kereta perisai ADNAN dari Kem Batu 10, Kuantan menuju ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas untuk Latihan Peningkatan Tempur (LPT).
“Melalui laporan awal, kemalangan disebabkan KPKP cuba mengelak sebuah trailer awam yang menukar haluan dan masuk ke lorong kanan secara tiba-tiba. Akibat keadaan jalan licin kerana hujan, KPKP hilang kawalan seterusnya terbabas ke jalan bertentangan,” menurut kenyataan itu.
TDM memaklumkan kerosakan adalah keseluruhan bahagian prime mover KPKP manakala tiada kerosakan pada kereta perisai ADNAN dan pemandu KPKP tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kenderaan lain yang berada di dalam konvoi telah meneruskan perjalanan ke Kem Perdana Sungai Besi. TDM menggerakkan sebuah kenderaan kembalik dari pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja dari Kem Batu 10, Kuantan dan sebuah KPKP dari Kem Perdana Sungai Besi ke lokasi kemalangan.
“Ia bertujuan membuat penarikan KPKP dan pengambilan dua kereta perisai ADNAN yang terlibat kemalangan bagi tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.
– BERNAMA