SHAH ALAM, 9 NOV: Lebih 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada hari terakhir program Jelajah Belia Madani Selangor peringkat daerah Petaling, esok.
EXCO Belia Najwan Halimi berkata sebanyak 30 syarikat menyertai Karnival Kerjaya yang dianjur sempena program berkenaan, dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Secara keseluruhan, kita mahu mendekati anak-anak muda khususnya belia di Selangor dan ini adalah jelajah yang kedua dan selepas ini kita akan pergi ke Sabak Bernam.
“Jelajah ini akan diteruskan ke semua daerah di Selangor sebelum berakhir di Gombak pada tahun depan,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, beliau merasmikan Jelajah Belia Madani Selangor peringkat daerah Petaling di Kompleks Generasi Muda dan Sukan Selangor di Seksyen 7, di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei, dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi.
Jelajah Belia Madani peringkat Petaling dianjur selama dua hari sehingga esok, menawarkan pelbagai aktiviti seperti seminar SPM, konsert anak muda, bazaar usahawan tempatan dan acara sukan.