EXCO Perumahan Borhan Aman Shah melawat reruai pameran selepas merasmikan Expo Rumah BPEX (Seronoknya Ada Rumah) di Dewan 3 Pusat Pameran Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur pada 4 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

LPHS laksana pembahagian kluster, segera selesai isu hak milik strata

SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Negeri mengarahkan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) membuat pembahagian kluster bangunan kediaman strata yang belum mendapat hak milik.

EXCO perumahan berkata pembahagian kluster itu akan memudahkan proses penyelesaian mendapatkan hak milik strata dengan menggunakan peruntukan khas RM10 juta yang dibentang dalam Belanjawan Negeri 2025.

Jelas Datuk Borhan Aman Shah, jawatankuasa khas perumahan mengenal pasti kediaman strata yang boleh diselesaikan tetapi mereka mengalami kekangan seperti di Puchong dan Sepang.

“Oleh itu, isu strata ini kita akan bantu dengan mendahulukan kediaman bangunan mengikut peratusan paling tinggi yang boleh diselesaikan. Kerajaan Negeri ada cara untuk menyelesaikannya terutama bagi pemilik yang telah meninggal dunia…kita mahu selesai secepat mungkin.

“Dengan adanya suntikan dana diumumkan dalam Belanjawan Negeri 2025 dapat membantu menyelesaikan isu strata dalam sesuatu tempoh,” katanya selepas merasmikan Hari Anugerah Laman Hijau Strata Selangor 2024 semalam.

Terdahulu, dalam sidang Dewan Negeri Selangor, Borhan menjelaskan jawatankuasa khas perumahan mengenal pasti 138,817 unit kediaman bertingkat di seluruh Selangor masih belum mendapat hak milik strata.

Katanya, jawatankuasa khas inisiatif pengeluaran hak milik strata bagi perumahan dan hartanah yang ditubuhkan Mac lalu mengenal pasti antara isu membabitkan hak milik strata termasuklah dokumen pembangunan tidak lengkap seperti kebenaran merancang, pelan bangunan dan lesen pemajuan serta perjanjian jual beli.

Baru-baru ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari Ketika membentang Belanjawan Selangor 2025 memaklumkan RM10 juta diperuntuk bagi tujuan dana awalan Tabung Penyelesaian Strata di Selangor.


Pengarang :