Rakyat Palestin berkumpul menerima bantuan termasuk bekalan makanan disediakan Program Makanan Sedunia di luar pusat pengedaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Jabalia, utara Semenanjung Gaza pada 24 Ogos 2024. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Malaysia salur RM45 juta, 5,000 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza

SHAH ALAM, 12 NOV: Malaysia menghantar lebih 5,000 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui sempadan Rafah memanfaatkan jutaan rakyat Palestin dari Oktober 2023 hingga kini, maklum timbalan menteri luar negeri.

Datuk Mohamad Alamin berkata bantuan RM45 juta turut disalurkan melalui akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) melibatkan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO).

“AAKRP membelanjakan hampir RM45 juta kepada beberapa agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), NGO tempatan, dan agensi lain.

“Antaranya Pertubuhan Antarabangsa Serantau (UNRWA), Kedutaan Besar Malaysia di Unit Hal Ehwal Palestin di Aman, Jordan; NGO tempatan di bawah Op Ihsan, Persatuan Bulan Sabit Merah di Jordan, Mesir dan Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Mordi Bimol (HARAPAN-Mas Gading) pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya Malaysia turut menyalurkan bantuan pendidikan kepada penuntut Palestin yang melanjutkan pelajaran di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dengan menyediakan kemudahan pembiayaan dan elaun sara hidup.

“Bayaran universiti di IPTA kita bayar sepenuhnya, manakala di IPTS, kita minta mereka ini diberi diskaun,” katanya.

Tambahnya, Wisma Putra memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Jordan untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan susulan penutupan pintu Rafah sejak 7 Mei lalu.

“Malaysia juga telah menyumbang USD 500,000 kepada Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO) dan Pusat Kanser Raja Hussein (KHCC), untuk merawat rakyat Palestin yang menghidap kanser,” jelasnya.


Pengarang :