HULU LANGAT, 2 NOV: Kerajaan Negeri telus dan tidak menyorokkan sebarang fakta berhubung insiden tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada Disember 2022.
Dato’ Menteri Besar menjelaskan laporan yang dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) serta badan berautoriti lain mendapati kejadian yang mengorbankan 31 nyawa itu berpunca dari bencana alam.
Berikutan itu, Dato’ Seri Amirudin Shari tidak menghalang tindakan sebahagian mangsa yang terselamat dan waris mangsa yang maut untuk mengambil tindakan perundangan.
“Jika mereka rasa ada kes, mereka bebas ambil tindakan (perundangan) tetapi Kerajaan Negeri berpandukan kepada laporan yang telahpun dikemukakan kepada mereka untuk disemak.
‘Kejadian hari itu berpunca daripada bencana alam semula jadi yang luar daripada kawalan Kerajaan Negeri. Jadi kalau mereka rasa ada, terpulang,” katanya ditemui pada program Rewang Strata Majlis Perbandaran Kajang di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma hari ini.

Pada Isnin, media melaporkan 23 mangsa dan ahli keluarga individu yang maut dalam insiden berkenaan menyaman Kerajaan Selangor kerana didakwa gagal menunaikan tanggungjawab serta kecuaian.
Turut disaman ialah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor selain BL Agro Sdn Bhd, Malaysia Botanical Gardens Resort Sdn Bhd dan Infrasel Sdn Bhd.
Pada 5 Oktober, Kerajaan Negeri bersetuju nyahrahsia laporan penuh insiden tanah runtuh Batang Kali hasil keputusan bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan malah turut diserah kepada Kerajaan Negeri selepas dibentangkan di Kabinet pada September.
Tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu mengorbankan 31 nyawa manakala 61 mangsa terselamat.
