GOMBAK, 9 NOV: Program Jelajah Ummah anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Malaysia (Mapim) di Sungai Tua di sini hari ini merapatkan hubungan pemimpin tempatan dengan komuniti setempat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program berkenaan juga meningkatkan kesedaran dan minat pelbagai pihak untuk melakukan aktiviti kebajikan masyarakat sekali gus menjadikan ia sebagai budaya melakukan kebaikan.
Menurutnya, Mapim memilih Gombak sebagai lokasi bagi menyalurkan sebanyak 200 bakul makanan kepada golongan memerlukan di Sungai Tua selain membuat agihan melalui kunjungan dari rumah ke rumah.
“Turut diadakan program masyarakat antaranya permainan e-sukan, tukar minyak hitam selain pengisian lain yang diatur selama sehari. Ia turut dihadiri beberapa pegawai kerajaan hari ini.
“Budaya kepedulian itu timbul dari rasa kasih sayang dan menghargai antara satu sama lain. Kalau semengat ini dibina, saya yakin Selangor dan Malaysia akan aman makmur dan boleh maju ke depan sebagai masyarakat contoh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Peduli Ummah Sejahtera Insan Al-Falah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di Dataran Sungai Tua di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau memberitahu Kerajaan Negeri turut memupuk sifat kepedulian melalui pelaksanaan program kebajikan Iltizam Selangor Penyayang (ISP).
“Sifat kepedulian ini melahirkan rasa tanggunjawab terhadap komuniti dan masyarakat.
“Contohnya melalui ISP, Kerajaan Negeri melaksana program bantu anak Selangor masuk universiti, mendapat akses pendidikan di taska dan bantuan tuisyen rakyat,” jelasnya.
Antara program menarik lain yang disediakan klinik bergerak oleh Majlis Agama Islam Wilayah (MAWIP) yang menyediakan saringan kesihatan percuma selain program rewang antara masyarakat setempat.