Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada Media Selangor selepas menziarahi Masjid El Emam El Hussein di Kaherah, Mesir pada 7 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

MB ziarah Masjid El Emam El Hussein, akhiri lawatan di Mesir

KAHERAH, 7 NOV: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengakhiri lawatan tiga hari ke Timur Tengah dengan menziarahi Masjid El Emam El Hussein yang terletak berhadapan Masjid Al-Azhar di sini.

Beliau juga berkesempatan menziarahi beberapa lokasi strategik khususnya mempunyai kaitan dengan sahabat dan keluarga Nabi Muhammad SAW yang dikebumikan di bumi Mesir.

“Saya sangat gembira dengan kehadiran ke sini. Banyak manfaat dan pengalaman baru diperoleh walaupun kali keempat saya datang ke Mesir,” katanya ditemui di sini hari ini.

Masjid tersohor dengan keindahannya itu merupakan sebuah masjid dan makam Husain Ali yang awalnya dibangun pada 1154, sebelum dibina kembali pada 1874.

Masjid yang turut terletak berhampiran pasar Khan El-Khalili merupakan lokasi pemakaman Raja Dinasti Fathimiyah dengan pemberontakan dari wilayah Asqolan menyebabkan terjadi perubahan sejarahnya.

Khalifah yang memimpin Mesir ketika itu meminta untuk memindahkan jenazah kepala Al-Husain yang awalnya di Asqolan menuju Kaherah.

Pemandangan hadapan Masjid El Emam El Hussein di Kaherah, Mesir. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Kepala Al-Husain kemudian dimakamkan di kawasan pemakaman Dinasti Fathimiyah yang menjadi masjid El Hussein ketika ini.

Amirudin bersama delegasi Selangor mengadakan lawatan kerja ke negara ini bermula 5 November sempena World Urban Forum ke-12 dan Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah 2024.

Pemimpin negeri itu juga mengadakan ziarah mahabbah ke atas bekas mufti agung Mesir Prof Dr Ali Jumaah Muhammad Abdul Wahab di kediaman beliau di Giza.

Beliau turut melawat penempatan pelajar Selangor di Hayyu Asyir Nasr City bagi melihat keadaan semasa bangunan asrama yang menempatkan seramai 130 pelajar lelaki dan perempuan.

Amirudin juga mengadakan sesi dialog bersama mahasiswa Timur Tengah dari pelbagai negeri mengenai isu semasa dan antarabangsa di Dewan Besar Abbasiyah.

Beliau dijadual pulang ke Malaysia tengah malam ini waktu tempatan.


Pengarang :