SHAH ALAM, 5 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan makluman persediaan berdepan bencana susulan fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula hari ini.
MBSA menerusi Facebook menasihatkan penduduk dan pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah awal menghadapi banjir.
“Patuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah ke pusat penempatan sementara yang disediakan.
“Kecemasan atau bantuan segera akibat banjir di Shah Alam sila hubungi Bilik Gerakan Pasukan Tindakan Segera (Pantas) di talian 03-5510 5811,” katanya.
Berikut langkah-langkah persediaan berdepan banjir:
Sebelum
1. Peka terhadap amaran banjir
2. Simpan dokumen penting dalam bekas kalis air
3. Sediakan beg kecemasan
4. Berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa
Semasa
1. Dapatkan maklumat situasi terkini di sumber sahih
2. Berpindah ke tempat selamat
3. Makan makanan yang kering dan bersih
Selepas
1. Pulang ke rumah selepas situasi disahkan selamat
2. Masuk ke dalam rumah dengan memakai kasut
3. Maklumkan ahli keluarga tentang keberadaan anda
4. Bersihkan rumah dan peralatan
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), MTL atau lebih dikenali musim tengkujuh dijangka bermula hari ini dan berterusan sehingga Mac 2025.
Lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku, dengan fasa awal MTL dari November hingga Disember ini dijangka melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Manakala bermula Januari hingga Februari 2025, negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku episod hujan lebat adalah Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.