KOTA KINABALU, 10 NOV: Kementerian Pertahanan mengesahkan enam anggota Batalion Malaysia (Malbatt) yang terlibat dalam insiden letupan di Lubnan hanya mengalami cedera ringan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata mereka yang cedera terdiri daripada lima anggota pasukan yang baru tiba manakala seorang lagi anggota telah berada di Lubnan.
“Kementerian Pertahanan akan terus memastikan keselamatan anggota yang ditugaskan di Lubnan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) 2024 Angkatan Tentera di Balai Cerap Al-Biruni disini hari ini.
Pada Khamis lepas, enam anggota Malbatt cedera susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota Malbatt 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada 1.54 tengah hari waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia.
Letupan tersebut menyasarkan sebuah kenderaan awam lain sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota Malbatt 850-12.
Beliau berkata berkata kedudukan anggota Malbatt yang ditempatkan di Kem Marakah berada di kawasan selamat.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kementerian akan meneruskan semua projek pembangunan dalam sektor pertahanan di Sabah yang telah dimulakan dan sedang berjalan dengan peruntukan sebanyak RM234.5 juta.
Beliau berkata projek itu melibatkan pembangunan Kem Tentera Darat di Felda Sahabat, Lahad Datu dan pembinaan Kem 5 Briged dan Kem 19 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kota Belud.
Selain itu, tahun depan juga banyak pembangunan dan projek pertahanan baharu di Sabah juga akan dijalankan dengan peruntukan berjumlah RM37.6 juta, katanya.
“Ia termasuk pembangunan Pos Serudong dan Pos Bantul, pembangunan kemudahan kesihatan angkatan tentera di Kem Lok Kawi dan pembinaan bangunan kompleks Pusat Operasi Perisikan Medan (POPM) Zon Sabah,” katanya.
— BERNAMA