PETALING JAYA, 6 NOV: Penghantaran dan penugasan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan untuk misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diteruskan meskipun berhadapan dengan situasi tegang susulan serangan Israel ke atas negara itu sejak September lalu.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penghantaran pasukan ke-12 MALBATT itu merupakan persefahaman negara dengan PBB bagi penugasan di Lubnan.
“Penglibatan kita sangat penting kerana ia mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang komited kepada keamanan sejagat selain membina reputasi sebagai negara yang konsisten dalam diplomasi dan penyelesaian konflik secara aman.
“Sebab itu, kita teruskan penghantaran MALBATT secara berfasa bermula hari ini hingga 18 November ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-12 ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata pihaknya mengakui situasi di selatan Lubnan adalah mencabar namun pendedahan serta persediaan telah dilaksanakan melalui latihan integrasi selama 12 minggu di bawah seliaan Markas Angkatan Bersama di MALBATT Village, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Menurutnya latihan yang dijalani oleh anggota melibatkan latihan operasi pengaman, latihan kesedaran dan kepekaan budaya, serta kesihatan fizikal dan mental sehingga mereka diklasifikasikan layak untuk menyertai pasukan MALBATT.
Mohamed Khaled berkata isu keselamatan anggota menjadi keutamaan dan pihaknya akan sentiasa berhubung rapat dengan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) melalui Markas Angkatan Tentera untuk mendapatkan perkembangan terkini.
Jelasnya, pasukan MALBATT 850-12 akan ditempatkan di lokasi sama iaitu di Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin di selatan Lubnan dan akan melaksanakan tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.
Terdahulu, Mohamed Khaled yang diiringi Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman menghantar pasukan MALBATT 850-12 melibatkan 854 anggota terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta seorang pegawai awam kewangan dari Kementerian Pertahanan.
MALBATT 850-12 diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat melibatkan empat peringkat penghantaran diketuai Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh.
Selain itu, Mohamed Khaled berkata pasukan MALBATT 850-11 yang kini berada di selatan Lubnan dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan bertindak mengikut arahan daripada UNIFIL.
“Kita khuatir akan serangan udara tetapi akhir-akhir ini tiada serangan udara. Selain itu, kawasan yang berada di bawah tanggungjawab anggota terletak sedikit ke dalam dan bukan betul-betul di sempadan antara Lubnan dan Israel.
“Kita (pasukan) dikelilingi oleh pasukan pengaman dari negara lain, jadi kita berada di tengah-tengah. Jika berlaku apa-apa, contohnya ancaman dari darat, mereka perlu melalui pasukan pengaman ini,” katanya.
Sebelum ini, Mohamed Khaled berkata penghantaran dan penugasan diteruskan selepas pihaknya menerima makluman daripada Force Commander UNIFIL bagi semua pasukan pengaman, termasuk pasukan dari Malaysia.
Katanya penerimaan pasukan MALBATT 850-11 secara berperingkat akan bermula dari 7 hingga 19 November manakala penghantaran pasukan MALBATT 850-12 bermula hari ini hingga 18 November depan.
– BERNAMA