SHAH ALAM, 11 NOV: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Super Safee Soccer School menganjurkan klinik asas bola sepak di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati semalam.
Pihak berkuasa tempatan itu berkata program yang menampilkan lagenda bola sepak kebangsaan Safee Sali itu bertujuan untuk mengasah bakat anak muda berusia 13 hingga 17 tahun.
“Super Safee Soccer School yang sebelum ini dilancarkan di Sepang pada Februari lepas kini diperluaskan lagi di kawasan Ampang untuk terus mencari dan melahirkan pemain bola sepak berkualiti melalui bimbingan Safee Sali.
“Antara pengisian lain program adalah persembahan timbang bola dan sesi menandatangani jersi bola oleh bekas pemain Harimau Malaya itu,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, MPAJ juga komited membangunkan sukan bola sepak di kawasan pentadbirannya melalui penganjuran pertandingan.
“Pertandingan bola sepak Piala YB Tuan Syed Ahmad bin Syed Abdul Rahman Al-Hadad (Altimet) bawah 12 tahun & bawah 10 tahun serta Piala Yang Dipertua MPAJ diadakan pada Oktober lalu.
“Selain itu, MPAJ turut menjadi penaung kepada Ampang Jaya Football Club (AJFC),” katanya lagi.