KUALA LUMPUR, 4 NOV: Lokasi kejadian sebuah Proton Saga yang terjatuh ke dalam runtuhan tebing di Taman Lembah Maju, dekat sini pada 4 pagi tadi adalah kawasan runtuhan lama yang berlaku 12 Oktober lepas.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam kenyataan memaklumkan pasukan penguat kuasanya bersama anggota Balai Polis Pandan Indah serta Bomba dan Penyelamat Pandan Indah telah ke lokasi untuk tindakan lanjut.
“Kereta berkenaan berjaya dibawa keluar dari kawasan tebing menggunakan kren pada 11.30 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kerja-kerja penyelenggaraan paip juga sedang dijalankan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan kerja-kerja pembaikan tebing akan diteruskan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” kata kenyataan itu hari ini.
MPAJ memaklumkan lokasi berkenaan telah ditutup menggunakan penghadang konkrit serta pita keselamatan bagi menghalang kenderaan serta orang awam daripada memasuki kawasan tebing yang sedang dibaiki, selain memberi laluan JPS menjalankan kerja-kerja pembaikan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan yang sedang dalam pembinaan bagi tujuan keselamatan,” mengikut kenyataan itu.
-BERNAMA