Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) menyampaikan cek cura sumbangan naik taraf bangunan asrama Selangor di Mesir berjumlah USD12,520 (RM54,406) kepada Atase Pendidikan Negeri Selangor (Timur Tengah) Muhammad Zulhusni Abdul Rashid (dua, kiri) ketika Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah di Kaherah, Mesir pada 5 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri bantu selesai masalah bekalan air, kebersihan asrama Selangor di Kaherah

KAHERAH, 6 NOV: Masalah bekalan air dan kebersihan yang membelenggu 130 penghuni asrama Selangor di Hayyu Asyir Nasr City di sini sejak setahun lalu bakal berakhir selepas menerima bantuan USD12,520 (RM54,406) bagi mengatasi isu itu.

Sumbangan naik taraf bangunan asrama oleh Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI disambut baik dan melegakan penghuni asrama berkenaan termasuk pihak pengurusannya.

Atase Pendidikan Negeri Selangor (Timur Tengah) Muhammad Zulhusni Abdul Rashid berkata kemudahan di asrama yang terletak kira-kira 18 kilometer dari sini perlu ditambah baik demi keselesaan dan kesihatan anak-anak Selangor.

“Insya-Allah bantuan ini akan digunakan untuk tambah baik fungsi tangki air bagi meningkatkan kapasitinya memandangkan sebelum ini sering berlaku bekalan air terputus di asrama berkenaan.

“Sistem pembersihan sampah juga akan dinaik taraf kerana selama ini lokasi itu tidak terurus selain sering diceroboh pemungut sampah binatang seperti anjing serta kucing hingga mengakibatkan pembiakan tikus.

“Kita turut bercadang menaik taraf sistem pembentungan bagi mengelak limpahan kumbahan sekitar bangunan asrama, mengambil kira sistem sedia ada tidak dapat menampung kapasiti penghuni yang semakin bertambah,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima cek cura bantuan itu pada majlis perasmian Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah di sini yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Amirudin turut menyerahkan bantuan RM10,000 masing-masing kepada Majlis Perundingan Mahasiswa Malaysia yang disalur Kerajaan Negeri dan bantuan aktiviti pembangunan akademik anak Selangor sumbangan Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor.

Dalam pada itu, Zulhusni berkata bantuan aktiviti pembangunan akademik yang diperoleh akan digunakan untuk mengadakan kelas pengajian ilmu Turath sebagaimana disaran Amirudin termasuk kelas pemantapan kemahiran hafazan.

Bagi Setiausaha Agung Majlis Perundingan Mahasiswa Malaysia Mesir, Azwan Mashud sumbangan berkenaan akan dimanfaatkan untuk majlis konvokesyen mahasiswa Malaysia di Mesir tahun depan.

“Asalnya sumbangan ini dimohon untuk majlis konvokesyen kami 19 Oktober lalu. Terima kasih tidak terhingga kepada pihak berkaitan atas sumbangan ini,” katanya.


Pengarang :