KAJANG, 2 NOV: Sebanyak 138,000 unit rumah strata di negeri ini mengalami masalah pemilikan sekali gus memberi kesan kepada nilai aset dan hartanah.
Dato’ Menteri Besar berkata isu yang membelenggu pemilik sejak 20 hingga 30 tahun lalu itu akan cuba diselesaikan menerusi beberapa inisiatif yang akan diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2025 pada 15 November ini.
“Ini berpunca apabila kebenaran merancang dikeluarkan sebelum isu tanah dilunaskan. Hal ini menyebabkan ada pemaju culas dan cuai tak nak bayar. Akhirnya jatuh kepada penduduk semula. Kalau ikutkan setiap penduduk kena bayar.
“Jadi kita rungkaikan tapi Kerajaan Negeri tak boleh bayar semua, sekolah-olah kita tanggung masalah lepas. Kita dah cari formula sama beri insentif kepada pemilik atau pemaju yang boleh pulihkan isu ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Ditemui di Program Rewang Strata Majlis Perbandaran Kajang di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Amirudin berkata masalah berkenaan perlu diselesaikan segera supaya hartanah sah menjadi aset pemilik.
“Disebabkan hak milikan ini tak dapat, pemilik jadi tergantung, tak ada geran. Mereka nak jual pun tidak boleh. Jadi kita akan bantu selesaikan kerana ia melibatkan pelbagai isu termasuk premium tanah dan yuran guaman,” katanya.
Pada Julai, Amirudin mengarahkan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) menubuhkan jawatankuasa untuk meneliti masalah berkenaan termasuk kos diperlukan serta menyasarkan 50 peratus pemilikan dapat diselesaikan secara berperingkat mulai tahun depan.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan bantuan berperingkat termasuk peruntukan menceriakan di kawasan pangsapuri berkenaan demi memastikan penduduk menjalani kehidupan lebih selesa.
“Penduduk digalakkan memohon bantuan Sejati Madani yang memperuntukkan RM1 bilion termasuk RM200 juta untuk komuniti dan penempatan. Sini ada kawasan lapang yang sesuai untuk usahakan pertanian bandar. Boleh juga bangunkan industri kecil sederhana yang boleh jana pendapatan,” katanya.