Rumah Selangorku Residensi Adelia, Kajang. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RM10 juta dana selesai isu strata, projek Skim Ceria, Rewang Komuniti diteruskan

SHAH ALAM, 16 NOV: Sejumlah RM10 juta diperuntuk tahun depan bagi dana awalan Tabung Penyelesaian Strata di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif peruntukan khas dicadang untuk membantu meningkatkan peratusan penyelesaian pembangunan tanpa hak milik strata di Selangor.

“Ini khususnya skim yang tidak layak untuk memohon peruntukan daripada tabung khas hak milik strata.

“Dianggarkan RM100 juta diperlukan dalam tempoh 10 tahun untuk penyelesaian keseluruhan skim strata yang telah dikenal pasti di seluruh Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata Kerajaan Negeri memperuntuk tambahan RM4.5 juta tahun depan untuk terus menampung kerja baik pulih dan penyelenggaraan di bawah projek Skim Ceria.

“Sejak 2011 hingga 2024, 389 projek Skim Ceria telah dilaksanakan di seluruh 12 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor, dengan peruntukan keseluruhan RM148.2 juta,” katanya.

Katanya, Program Rewang Komuniti Strata dianjurkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di pangsapuri kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan diteruskan tahun depan dengan peruntukan RM300,000.

“Program ini bertujuan mewujudkan semangat kerjasama dan mengembalikan konsep gotong-royong yang menjadi teras masyarakat kita,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Perumahan, Borhan Aman Shah menyampaikan cek cura kepada wakil Projek Skim Ceria ketika Program Rewang Komuniti Strata Negeri Selangor Peringkat Majlis Perbandaran Selayang di Padang Awam, Pinggiran Batu Caves, Gombak pada 14 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :