BUDAYARENCANA

Sang Suami, Para Isteri dan Badai-badai di Kota Karun

Oleh Afrina Aziz

Di sebuah negara bernama Yatheemah, termuat beberapa kota di dalamnya. Antaranya ialah Kota Karun yang merupakan tempat tinggal para balu kematian suami. Maknanya, semua wanita yang kematian suami akan dicampakkan ke Kota Karun untuk meneruskan hidup di sana. Entah mengapa sistem sebegitu dilaksanakan, seorang pun tidak dapat meneka jawapannya.

Kasta di Kota Karun sama sahaja. Wujud yang miskin juga yang kaya. Di sebuah kawasan pinggir laut, terdapat sebuah rumah yang mewah. Kediaman itu dihuni oleh seisi keluarga yang sudah lima tahun kematian ketua keluarga mereka. Sang suami telah meninggalkan hartanya yang kira-kira sudah hampir sama tinggi dengan gunung di Kota Karun itu. Sebelum meninggal dunia, diminta Run, sang isteri untuk membahagi-bahagikan harta-harta tersebut. Run pun tidak pasti kepada siapa lagi harus harta tersebut dibahagikan. Bukankah hanya Run dan lima anak mereka sahaja yang merupakan keluarga sang suami yang masih hidup?

Rupa-rupanya Run yang naif sudah tersilap tafsir. Bukan Run dan anak-anak sahaja yang merupakan keluarga sang suami kerana Run merupakan isteri keempat yang dinikahi sang suami secara diam-diam. Run berasa terhina dan amat terluka. Rahsia ini terbongkar apabila ketiga-tiga isteri sang suami datang ke rumah Run menuntut harta yang ditinggalkan.

“Tidak mungkinlah dia tidak meninggalkan apa-apa. Dia kaya!” Ujar isteri yang pertama.

“Bagaimana dengan anak-anak kami yang enam orang itu? Hendak makan apa?” Isteri yang kedua mencelah pula.

Isteri ketiga hanya mendiamkan diri.

Run tercengang di muka pintu sambil menahan amarah dalam dada. Disumpah seranah sang suami dalam hatinya. Tak guna. Mati meninggalkan bala. Difikirkan sang suami itu merupakan suami yang baik dan setia. Mana tidaknya, berserban setiap masa. Rupa-rupanya, pijak semut pun, semut tidak mati. Semuanya lakonan semata-mata.

“Buat pengetahuan kalian, dia tidak ada meninggalkan satu harta pun kepada saya. Saya juga tidak tahu dia mempunyai isteri-isteri yang sebanyak ini. Saya ditipu dan dikhianati olehnya. Entah-entah dia ada lagi isteri yang kita tidak ketahui.” Run membalas.

“Dalam surat yang kami terima, engkau yang terakhir yang masih hidup. Aku juga ada lapan anaknya yang perlu diberi makan walaupun aku telah pun diceraikan.” Isteri ketiga akhirnya berbicara. Run menelan air liurnya. Wajahnya kelat.

“Aku tidak tahu-menahu tentang sebarang harta. Tolonglah. Aku mohon kalian pulang. Aku dan anak-anak juga hidup sebatang kara.” Run terus menutup pintu rumahnya dan berlari masuk ke dalam rumah.

Run ke bahagian bawah tanah rumahnya, iaitu sebuah ruang untuk dia menyimpan harta-harta peninggalan sang suami. Run tidak akan sama sekali menyerahkan harta-harta tersebut kepada sesiapa. Harta yang tidak akan habis itu hanya untuk anak-anaknya sahaja. Anak-anaknya masih kecil dan mempunyai perjalanan hidup yang masih panjang. Dia tidak boleh jatuh miskin. Persetankan apa yang dipinta sang suami sebelum meninggal dunia. Permintaannya tidak layak ditunaikan. Hati Run kini berkecai seperti kaca yang berderai di lantai. Dialah isteri yang paling dikhianati si mati.

Beberapa hari kemudian, ketika Run ke pasar, dia terserempak dengan seorang kanak-kanak yang sedang mengemis di kaki lima. Wajah kanak-kanak lelaki itu seakan-akan wajah suaminya. Run memerhatikan wajah kanak-kanak itu dengan begitu lama.

“Itulah anak suami kau. Malang sekali, nasib tidak menyebelahinya walaupun bapanya orang senang.” Seorang penjual sayur di pasar itu mula bicara. Run terkejut lalu segera menoleh ke arah penjual sayur itu.

“Aku tidak pernah kenal budak itu. Malah, aku juga tidak tahu suami aku mempunyai lebih daripada seorang isteri. Satu harta pun tidak ditinggalkannya kepada kami. Aku ini dikhianati, mak cik. Dikhianati!” Run meninggikan suaranya. Dia seakan-akan memuntahkan apa yang terbungkam di dalam hatinya. Semua yang berada di pasar memandang ke arahnya dan berbisik sesama sendiri.

Run bergegas pulang ke rumah dalam keadaan marah. Sudahlah dia dikhianati suami, malah dikatakan kanak-kanak di pasar tadi merupakan anak lelaki suaminya. Usia kanak-kanak itu sebaya dengan anaknya yang paling bongsu. Run berteka-teki, siapakah emak kepada kanak-kanak itu. Jangan-jangan suaminya berkahwin lagi sebelum mati. Cis.

Suatu malam, rumah Run telah dimasuki orang. Anehnya, tiada satu harta benda pun yang diambil orang itu. Tetapi keadaan di dapur berselerak dengan makanan yang bertaburan di atas lantai. Malam seterusnya, Run berjaga malam untuk melihat siapa yang memecah masuk rumahnya.

Penantiannya membuahkan hasil. Run memerhatikan kelibat kecil yang menyelinap masuk ke dalam rumahnya dengan penuh berhati-hati menuju ke dapur. Kelibat kecil itu menggeledah tin-tin makanan dan melahap isinya dengan rakus.

“Pencuri! Kecil-kecil sudah pandai mencuri!” Run menjerit dan menangkap kanak-kanak itu.

Jeritan Run telah mengejutkan jiran tetangga. Para balu kematian suami berkumpul di hadapan rumah Run. Run mengheret kanak-kanak itu ke hadapan rumahnya. Pada saat itu, barulah Run dapat menatap wajah kanak-kanak itu dengan jelas. Dialah kanak-kanak lelaki yang dijumpainya di pasar tempoh hari.

“Itu kan anak kepada suami kau!” Seorang wanita mula bersuara.

“Kau sepatutnya menjaga dia seperti anak kau sendiri.” Penjual sayur di pasar pula menyampaikan pendapatnya. Para balu yang lain sekadar menggelengkan kepala.

“Aku tidak tahu dia anak kepada siapa. Jangan hanya pandai bercakap sahaja!” Run naik angin di hadapan khalayak ramai.

“Kalian semua pandai berkata-kata. Mula-mula budak ini mencuri makanan di rumah aku. Esok atau lusa, harta-harta aku pula licin diambilnya. Aku masih ada anak-anak yang masih kecil untuk disara!”

“Bagaimana kau tidak tahu bahawa dia anak suami kau bersama isterinya yang terakhir? Isterinya meninggal sewaktu melahirkan budak itu. Sejurus selepas isteri terakhirnya meninggal, dia pula meninggal. Lihat sahaja wajahnya, sangat mirip wajah suami kau. Ini amanah suami kau. Jagalah dia.” Seorang wanita yang sedang sarat mengandung dan baru sebulan kematian suaminya pula berkata.

“Kalian memang tidak guna! Aku ditinggalkan tanpa diberitahu tentang apa-apa. Mengapa aku pula yang harus menanggung beban? Kalian para isterinya dan anak-anaknya yang lain tidak layak mendapatkan sebarang harta!” Run bergegas masuk ke dalam rumah dan mendapatkan anak-anaknya. Diarahkan anak-anaknya untuk turun ke ruang bawah tanah yang dibina untuk memuatkan harta-harta peninggalan sang suami.

“Jangan sesekali cuba untuk keluar, sekalipun badai datang. Hanya kita yang layak memiliki harta ini. Percayalah.” Run mengunci bilik di bawah tanah dan meninggalkan anak-anaknya di sana. Dia seterusnya bergegas ke atas dan memanjat kerusi kayu sambil melilit kemas kain selendang pemberian suaminya di leher yang terjuntai disangkut.

 

 

 

 

 


Pengarang :