KUALA LUMPUR, 7 NOV: Rekod tanpa kalah Selangor FC (SFC) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) lebur selepas tewas tipis 0-1 di tangan Jeonbuk Hyundai Motors FC pada aksi di Stadium Piala Dunia Jeonju, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Jeonbuk bukan sahaja membalas dendam atas kekalahan 1-2 di Petaling Jaya sebelum ini malah turut merampas teraju Kumpulan H dengan sembilan mata daripada empat perlawanan.
SFC pula terpaksa akur jatuh di tangga kedua dengan tujuh mata, hanya dua mata di depan Muangthong United ketika saingan peringkat kumpulan berbaki dua aksi lagi.
Jeonbuk lebih mendominasi babak pertama dengan percubaan Lee Seungwoo (m12) tersasar tinggi sebelum gerakan menarik tuan rumah pada minit ke-20 memaksa bola dikeluarkan Mohammad Abualnadi untuk sepakan sudut buat Jeonbuk, lapor Berita Harian.
Sepakan sudut itu dimanfaatkan Tiago yang menanduk masuk bola menewaskan Muhammad Azim Al Amin untuk gol pembukaan perlawanan namun Azim memastikan SFC tidak ketinggalan jauh apabila menyelamatkan percubaan Kwon Chang Hoon pada minit ke-28.
SFC cuba membalas menerusi dua percubaan berturut-turut pada minit ke-34 dan minit ke-35 namun rembatan Alvin Fortes tersasar sebelum percubaan lencong Ali Olwan tidak cukup untuk menewaskan Kim Jeonghoon.
Bersambung babak kedua, penguasaan bola terus menjadi milik Jeonbuk namun pertahanan SFC bijak menutup ruang daripada lawan mendapatkan peluang untuk mendapatkan gol.
Peluang terbaik SFC hadir pada minit ke-55 apabila hantaran Olwan menemui Ronnie Fernandez di dalam kotak penalti tetapi tampanan penyerang Chile itu sekadar menggegar palang.
SFC terus menguji gawang Jeonbuk namun percubaan Olwan tepat ke Jeonghoon disusuli percubaan Ahmad Zikri Khalili pada minit ke-86 tersasar.