Antara peserta larian program Shah Alam hari tanpa kenderaan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 10 November 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Shah Alam bakal miliki lebih banyak tarikan, rancak sektor pelancongan

SHAH ALAM, 10 NOV: Bandar raya ini bakal memiliki lebih banyak kawasan tumpuan mulai tahun depan selepas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melancarkan pelan tindakan pelancongan.

Pengarah pembangunan komuniti MBSA berkata pihaknya sedang menunggu laporan penuh pelan terbabit yang disediakan Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas institusi pengajian itu melaksanakan kajian bulan lalu.

“UiTM menerusi Fakulti Hotel dan Pelancongan membuat perbincangan kumpulan bersasar membabitkan pelbagai agensi sektor awam dan swasta selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Semua terlibat mencadangkan pelbagai idea bagi merancakkan aktiviti pelancongan di sini. Matlamatnya mahu mengeluarkan produk pelancongan baharu di samping menambah baik yang sedia ada,” katanya.

Ditemui pada program Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan hari ini, Shahrin berkata laporan berkenaan dijangka diterima hujung tahun ini.

“UiTM sedang mengkaji segala pandangan sebelum merangka dasar dan pelan terbabit. Kita yakin usaha ini turut membantu Kerajaan Negeri menjayakan Tahun Melawat Selangor 2025 (TSM2025),” katanya.

Bulan lalu, perbincangan kumpulan di samping kajian penilaian dan pemprofilan destinasi pelancongan Shah Alam yang berlangsung sehari disertai kira-kira 100 peserta.

Sempena TMS2025, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai kerja termasuk pengiklanan, digital dan media sosial, penganjuran acara pelancongan, jerayawara dan pameran bagi tujuan promosi.

TMS2025 yang menawarkan lebih 60 program sepanjang tahun depan dijangka menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan sasaran kutipan resit RM11.7 bilion.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Madiyan Baweh melakukan gimik pelepasan peserta larian program Shah Alam hari tanpa kenderaan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 10 November 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :