AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor mulai 27 November, tumpu STEM, TVET

SHAH ALAM, 11 NOV: Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) bakal diadakan mulai 27 November hingga 1 Disember depan bagi memperkasa agenda dan sektor pendidikan negeri.

Menerusi Facebook, SES memaklumkan program julung kali itu bakal melakar sejarah apabila turut menghimpunkan empat ekspo utama berteras pendidikan.

Ia meliputi Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF), Ekspo Penyelidikan dan Inovasi Selangor (SRIE), Ekspo Pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) Selangor serta Worldskills Malaysia Selangor 2024.

“Semua acara ini akan menampilkan pakar dan ahli akademik, inovasi serta dasar pendidikan yang bakal berkongsi pengalaman serta pandangan.

“Ekspo-ekspo ini akan membantu negeri mencapai matlamat selain membentuk landskap pendidikan yang adil melalui pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Berlangsung lima hari di Pusat Konvensyen Setia City, sidang berkenaan turut menekankan agenda Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Tahun ini, Selangor memperuntuk hampir RM100 juta bagi pembangunan pendidikan dan bantuan persediaan pelajar seperti Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor dan pinjaman boleh ubah.

Tawaran Kita Selangor yang dilancarkan pada 31 Julai 2023 turut merangkumi insentif pendidikan antaranya baucar Buku Kita Selangor RM200 dan latihan teknikal dan vokasional kepada 10,000 anak muda.


Pengarang :