PBTSELANGOR

Tukar barang kitar semula dengan baucar pasar raya

SHAH ALAM, 10 NOV: Orang ramai berpeluang menukar barangan kitar semula dengan baucar pasar raya 99 Speedmart di pekarangan Dewan MBSA Meranti Seksyen U20, Bandar Baru Sungai Buloh pada 16 November.

Bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari, mereka boleh menukar pelbagai kategori barangan kitar semula dan menerima tukaran baucar berdasarkan berat barangan.

“Tukar barang kitar semula dengan baucar 99 Speedmart sempena karnival 5R peringkat MBSA,” maklum Jabatan Kebersihan Awam dan Kelestarian Sisa, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Facebook.

Katanya, kategori barangan kitar semula termasuk minyak masak terpakai (5kg/RM10), kertas campuran atau buku (10kg/RM5) dan tin aluminium (1kg/RM5).

“Selain itu, tin susu atau besi (5kg/RM5), plastik high density polyethylene (HDPE) dan polyethylene terephthalate (PET) (5kg/RM5) serta kotak minuman bersih dan diratakan (2kg/RM5),” katanya.

Menurut jabatan itu pelbagai aktiviti lain diadakan sempena karnival berkenaan termasuk pertunjukan fesyen kitar semula tema haiwan safari, bengkel kitar semula serta pameran agensi.


Pengarang :