AGENDAJENAYAH

UPNM: Sembilan individu dirakam keterangan, suspek ke IDP Cheras petang ini

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Polis sudah mengambil keterangan sembilan individu bagi membantu siasatan kes penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dipercayai dipijak penuntut senior hingga parah di rusuk dan belakang badan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata mereka yang diambil keterangan melibatkan saksi kejadian dan kakitangan universiti berkenaan.

“Suspek kejadian juga dikenal pasti dan dijadualkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras petang ini untuk diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Rusdi dalam kenyataan memaklumkan mangsa berusia 19 tahun yang juga penuntut tahun satu, mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang selepas dicederakan seorang penuntut senior tahun tiga dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 10.45 malam, 21 Oktober lalu dengan mangsa ketika itu berada di tepi padang kawad setelah selesai panggil nama di universiti berkenaan dan polis hanya menerima laporan berkaitan insiden itu pada 8.40 malam, 8 November lalu.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi perkongsian di platform X semalam memaklumkan pihaknya berpendirian kejadian terbabit tidak wajar dan merosakkan imej UPNM serta institusi pendidikan tinggi.

Mohamed Khaled berkata kementerian berkenaan menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan berhubung kejadian.

Sebelum ini, tular di laman sosial X apabila seorang wanita mempersoalkan kewajaran tindakan mahasiswa UPNM yang didakwa membuli selain mendakwa adik saudaranya dipijak hingga patah tulang rusuk.

– BERNAMA


Pengarang :