PONTIAN, 10 NOV: Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bagi jajaran Banting ke Gelang Patah dijangka memacu perubahan pembangunan kawasan terlibat, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata antaranya, ia dapat memberikan manfaat pelebaran dan penambahbaikan jalan raya di kawasan terlibat.
“WCE akan disambung ke Selatan dan melalui daerah seperti Batu Pahat, Tanjung Piai (Pontian) sampai ke Gelang Patah.
“Apabila melalui kawasan berkenaan, seperti Pontian, mungkin jalan raya di daerah itu suatu ketika nanti akan menjadi kepada empat lorong. Oleh itu, kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang meluluskan (projek) itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Malaysia Iconic Rally Championship 2024 di sini, semalam.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini dilapor berkata WCE bakal menjadi laluan alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang sering dihadapi pengguna di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Beliau berkata selain menyuraikan kesesakan trafik, projek dalam perancangan itu juga memberi kesan positif dalam memacu kemajuan di kawasan sepanjang laluan sekali gus menyumbang kepada ekonomi setempat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas, mengumumkan WCE Banting-Gelang Patah yang mengguna pakai pendekatan Kerjasama Awam Swasta (PPP) akan diberi keutamaan tahun depan.
Ketika ini satu-satunya lebuh raya yang menghubungkan Johor ke Lembah Klang bagi pengangkutan darat seperti lori, bas, kereta dan motosikal adalah PLUS yang mula dibuka sejak 1994.
Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata sukan permotoran seperti rali dilihat berpotensi untuk dibangunkan di daerah yang menjadi tumpuan sekali gus dapat menarik minat pelancong dan meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
— BERNAMA