SHAH ALAM, 29 DIS: Lebih 11 tan atau 11,008 kilogram ikan berjaya didaratkan pada Program Tangkap Ikan Bandaraya (pleco) siri kedua di anak Sungai Kuyoh, Seri Kembangan sejak 7 Disember lalu.
Pengasas skuad pemburu ikan itu berkata tangkapan di sepanjang lima kilometer anak sungai tersebut mencapai sasaran keseluruhan 10 tan, susulan penyertaan menggalakkan daripada peserta sejak mula.
Menurut Mohd Haziq A Rahman, lebih 100 peserta menangkap ikan itu secara berkumpulan sepanjang program berlangsung yang menyumbang hasil tinggi.
“Hari ini 1,526 kilogram atau 1.5 tan ikan didaratkan. Penyertaan setiap minggu memang memberangsangkan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Haziq turut berharap program berkenaan dapat diteruskan tahun depan bagi mengurangkan populasi ikan invasif itu di sungai sekitar Selangor.
“Usaha menangkap ikan ini harus berterusan kerana ia sangat mudah membiak selain merosakan tebing dan menyebabkan runtuhan,” katanya.
Sebelum ini Mohd Haziq memaklumkan semua ikan yang ditangkap akan dihantar ke hab Kerajaan Negeri di Seksyen 33, Shah Alam untuk pelupusan dan diproses menjadi baja.
Program tangkapan ikan asing siri kedua diteruskan sepanjang bulan ini dengan tawaran insentif RM1 bagi setiap kilogram yang diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad.
Siri pertama dijalankan September lalu di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat sebagai langkah memulihara spesies tempatan serta sungai.
Selain menjadi pemangsa, ikan invansif berkenaan juga berupaya menyebabkan berlakunya runtuhan tebing sungai dan ban memandangkan keupayaan menebuk lubang untuk bertelur.