Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

51 laporan penipuan Forex diterima polis libat kerugian RM12 juta

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menerima 51 laporan polis berhubung skim penipuan pelaburan mata wang Forex rentas sempadan melibatkan kerugian hampir RM12 juta.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata skim itu didalangi beberapa individu dari Malaysia dan Indonesia dengan menggunakan nama sebuah syarikat beralamat di Indonesia sebagai broker yang menguruskan transaksi kewangan antara pelabur dan syarikat.

“Sehingga kini, dua individu iaitu seorang warga Indonesia dan seorang warga tempatan yang disyaki terlibat dengan skim ini ditahan, masing-masing pada 9 September dan 25 Oktober lalu.

“Dua syarikat lain juga telah dikenal pasti terlibat dalam mempromosikan skim pelaburan ini secara bersemuka kepada pelabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata siasatan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan individu yang menjadi mangsa kepada skim pelaburan itu dinasihatkan tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Polis mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan lumayan.

“Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti portal semakmule CCID, senarai amaran Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :