KLANG, 11 DIS: EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berazam untuk terus memberi khidmat terbaik selepas ini demi memastikan keperluan rakyat dan negeri dipenuhi.
Menerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor sempena Keputeraan Sultan Selangor ke-79, beliau mahu lebih fokus memandangkan pelbagai cabaran perlu ditempuh termasuk aspek perubahan iklim.
“Anugerah ini menjadi semangat baharu. Saya akan terus berkhidmat dengan lebih gigih lagi selepas ini. Selangor merupakan negeri maju dan penduduknya padat.
“Jadi perlu memberi sumbangan dan gerak kerja lebih tinggi berbanding negeri lain. Anugerah ini akan menjadi semangat baharu untuk jadikan negeri lebih baik,” katanya.
Terdahulu beliau antara 94 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-79 Duli Yang Teramat Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Sementara itu ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang menerima Darjah Kebesaran Dato’ -Sultan Sharafuddin Idris Shah berhasrat memajukan lagi anak syarikat Kerajaan Negeri.
“Ini menaikkan lagi semangat dan saya akan pastikan MBI menyumbang lebih banyak. Semoga pengurniaan ini memberi manfaat kepada diri dan MBI.
“Apabila diberi anugerah, ia datang dengan tanggungjawab besar, jadi akan lebih berusaha untuk beri sumbangan dan bakti memanfaatkan Selangor dan rakyat,” kata Dato’ Saipolyazan Mat Yusop.