SHAH ALAM, 12 DIS: Kerajaan Negeri melancarkan aplikasi Agro Selangor dilengkapi pelbagai kemudahan, yang bakal memanfaatkan sekitar 25,000 penggiat sektor pertanian negeri.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim menjelaskan aplikasi itu memudahkan urusan permohonan bantuan, aduan dan perkongsian maklumat sebagai langkah pemodenan sektor berkenaan.
“Selepas ini semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sama ada individu atau persatuan kita wajibkan mereka daftar menerusi aplikasi ini,” katanya.
“Pemodenan pertanian adalah kemestian, jadi aplikasi ini sebagai satu komponen memastikan segala aktiviti termasuk pendaftaran berkaitan boleh dilaksana melalui aplikasi ini.”
Beliau ditemui selepas majlis pelancaran aplikasi Agro Selangor dan serahan insentif pertanian di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Untuk permulaan, aplikasi Agro Selangor boleh dimuat turun melalui Google Play atau layari laman sesawang www.agroselangor.com bagi pendaftaran.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor menumpukan aspek pemodenan pertanian dan tanaman bernilai tinggi bagi memajukan pertanian negeri dan mempromosikan hasil tempatan.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, inisiatif tersebut sebahagian daripada strategi kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran produk pertanian bernilai tinggi.