Oleh Aliaa Alina
“Dunia ni tak adil untuk balachi macam kita.”
Itu kata-kata terakhir Idham kepadaku. Ketika itu, kami bertugas syif malam di kaunter ubat dalam sebuah hospital yang sunyi. Berbanding aku, Idham lebih frust menonggeng kerana permohonan untuk berpindah ke hospital di sekitar daerah negeri Perak telah ditolak buat kali ke-15. Hatinya semakin berbulu apabila mengetahui seorang doktor percubaan perempuan berjaya pulang ke Selayang. Walaupun perempuan itu baru bertugas tiga bulan di Tenom.
Khabarnya, bapa kepada doktor perempuan itu adalah seorang senator. Mungkin dia hanya memerlukan satu panggilan telefon ke Putrajaya untuk berpindah kerja di kampung halaman.
Aku merenung dua keping surat penolakan yang mengisi perut tong sampah. Anda kekal di Tenom. Tidak siapa peduli jika alasan anda adalah mahu menjaga ibu sakit. Atau mahu dekat dengan bakal isteri. Semua orang ada masalah masing-masing. Boohoo.
(Aku andaikan ayat ini muncul dalam kepala pegawai yang menerima permohonan kami)
Selepas melafazkan kata-kata itu, Idham membisu hinggalah ke tamat syif. Pada keesokan petang, aku terduduk apabila mengetahui bahawa Idham akhirnya dapat pulang ke kampungnya di Chemor, Perak.
***
Aku termenung di stesen kereta api ini. Sejujurnya, sejak kebelakangan ini, level stress aku memang tinggi. Hari-hari kena maki dengan pegawai atasan, hari-hari kena maki dengan pesakit. Kemudian, baru sekejap tadi, Jamilah minta putus tunang semata-mata kerana aku gagal pulang bekerja ke Semenanjung.
Bayangkan, aku ini pegawai farmasi, belajar empat tahun di Universiti Malaya, graduating with a First Class Honour, namun aku masih gagal ubati hati yang luka ini. Selepas Idham bertindak terjun dari landasan kereta api, semua kakitangan hospital diminta untuk membuat ujian kesihatan mental.
Semuanya akan menjadi lebih baik, janji pengurusan atasan. Kami adalah keluarga anda di sini, kata mereka lagi. Selepas menjawab soalan objektif untuk memprofil kesihatan psikologi kakitangan, dan menerima satu dua email susulan dari pegawai psikologi, akhirnya semua senyap sahaja.
Minggu seterusnya, seorang budak lelaki muda masuk menggantikan kekosongan vot yang ditinggalkan oleh Idham. Dan dia juga cuba-cuba mengisi borang permohonan pertukaran tempat kerja. Masalah bermula apabila aku jatuh cinta pada Jamilah. Dia merupakan rakan pengajianku ketika belajar di universiti. Betul orang kata, cinta merupakan akar umbi kepada masalah sakit kepala.
Sekarang ini, Jamilah bekerja di sebuah klinik di Bandar Alor Setar. Setiap kali kami berbual di telefon, dia sering bertanyakan tentang status pemindahanku. Mulanya dia simpati, lama-kelamaan perasaan simpati bertukar kepada rasa tak puas hati. Mungkin sudah menjangkakan hal ini, ketika di awal percintaan, Idham telah menasihati supaya aku bercinta sesama staf dalaman di hospital ini.
“Kita susah nak minta pindah, bro. Kau tengoklah abang ambulan, dah lapan tahun terpaksa PJJ dengan isteri yang berada di Johor.”
Aku mengeluh di depan Idham. Walaupun jururawat kelahiran Sabah ni lawa-lawa belaka sebab berketurunan Cina dan Bajau, tapi hatiku tetap inginkan Jamilah. Yang hidungnya seperti jambu air, berdahi luas dan berkulit hitam manis. Masalah utama apabila melibatkan cinta, adalah cinta ini sukar untuk dijangka dan payah dikawal selia. The heart wants what it wants.
***
Tahu-tahu sahaja, tengah hari itu aku menumbuk meja pegawai yang menguruskan permohonan penukaran kakitangan. Silapku juga kerana bertemu dalam keadaan perut yang lapar, jadi aku gagal menahan emosiku daripada meledak. Nafasku turun naik, mulut ini terus meluahkan kata-kata makian kepada pegawai itu.
Orangnya kurus kering macam tak cukup zat, bibirnya halus dan kepalanya botak. Wajahnya tenang menerima makian itu. Dia bersandar di kerusi hitam sambil memeluk tubuh. Melihat tingkah lakunya, jelas menunjukkan ini bukan kali pertama dia dimaki oleh kakitangan seperti aku. Dia nampak terlatih mengawal diri daripada bersikap mempertahankan diri.
Dia mengangguk sahaja, diselang seli dengan ayat, ‘saya faham perasaan encik’. Aku mengungkit kepulangan segera doktor percubaan perempuan yang berstatus anak senator. Aku babitkan sekali nama arwah Idham yang mengalami kemurungan selepas berkali-kali dihalang berpindah pulang untuk menjaga ibunya.
Aku sempat menjeling ke arah cermin di atas meja itu. Aku melihat dengan mataku sendiri, seorang balachi sedang mengamuk di dalam sebuah bilik. Pegawai itu mengangguk perlahan lalu mengambil surat rayuanku. Wajahnya serius meneliti isi kandungan surat itu. Percakapanku terhenti sebentar, dadaku terisi dengan pengharapan. Dia menekan cop merah di permukaan kertas putih itu.
DITOLAK.
***
Mataku menangkap kelibat pegawai yang telah menolak permohonan pulang aku dan Idham. Dia berdiri betul-betul di tepi landasan kereta api itu. Bunyi kereta api yang nyaring menandakan kehadiran ia bakal tiba di stesen tidak lama lagi. Aku bencikan pegawai botak itu, namun aku enggan membiarkan dia menuruti hati. Aku yakin, dia juga mahu menamatkan riwayat diri seperti yang telah dilakukan oleh Idham.
Aku menjerit melaungkan amaran supaya dia menjauhkan diri dari landasan. Dia tidak mempedulikan aku. Kepala kereta api sudah muncul di landasan. Aku terus berlari ke arahnya dan cuba memaut tangannya. Aku ingin menyentuhnya dan menyelamatkan dia, namun malangnya aku hanyalah seorang roh.
Ada kalanya aku terlupa, selepas pergaduhan di bilik pegawai ini (dan Jamilah bertindak memutuskan hubungan), aku terlebih dahulu datang ke sini dan membiarkan tubuhku hancur digilis oleh roda besi itu.
Berbeza dengan wajah tenangnya di pejabat, pegawai itu telah menanggalkan topeng seorang penipu profesional. Tika itu, riak wajahnya jelas kelihatan penat, kecewa, sedih dan marah.
Aku sering melihat riak wajah itu di muka Idham yang bertugas di kaunter ubat. Malah setiap pagi, aku melihat riak wajah itu di dalam sebuah cermin. Mungkin selama ini, di dalam setiap surat penolakan yang dikeluarkan dan dihantar kepada kami, pegawai itu cuba menjelaskan kepada Idham dan aku, bahawa seperti kami, dia juga hanyalah seorang balachi.