EXCO Pelaburan Ng Sze Han bercakap dalam sidang media pascalaporan Pameran Udara Selangor (SAS) 2024 di Hotel Mardhiyyah Shah Alam pada 13 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Pameran udara bakal dijenama semula, teroka lokasi baharu

Oleh Yasmin Ramlan

SHAH ALAM, 13 DIS: Pameran Udara Selangor (SAS) edisi kelima akan dijenamakan semula dengan menggabungkan pelbagai komponen, termasuk meneroka lokasi baharu, kata EXCO pelaburan.

Ng Sze Han menjelaskan perancangan itu bagi menyediakan pengalaman dan perkhidmatan lebih baik kepada pengunjung, di samping memberi tumpuan kepada kepelbagaian elemen serta komponen.

Beliau menambah acara tersebut juga bakal melibatkan sektor berkaitan pekhidmatan syarikat penerbangan untuk menyediakan lebih banyak pilihan kepada peserta dan orang ramai.

“Pameran ini akan diteruskan dengan sedikit penjenamaan semula. Kita akan tawarkan lebih banyak pilihan kepada peserta dan pengunjung,” katanya dalam sidang media pascalaporan SAS di sini, hari ini.

Pengunjung melihat Kapal Terbang Pilatus PC-6 milik PDRM yang digunakn untuk tinjuan udara dan Training parasuit ketika Pameran Udara Selangor (SAS) 2024 di Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark, Shah Alam pada 13 Septembar 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

“Kita juga akan memberi tumpuan kepada MRO (penyelenggaraan, pembaikan, dan pemeriksaan) serta perkhidmatan lain seperti perkhidmatan syarikat penerbangan.”

Dalam pada itu, Sze Han menekankan edisi kelima SAS merangkumi beberapa komponen utama, masing-masing menyasar sektor berbeza dalam industri penerbangan dan aeroangkasa di Malaysia serta Asean.

“Sambil kita bersiap sedia untuk Sidang Kemuncak Asean akan datang, kita perlu menonjolkan keupayaan aeroangkasa Selangor, mempamerkan infrastruktur, bakat dan lokasi strategik kita.

“Industri aeroangkasa Asean dijangka berkembang secara signifikan, dengan nilai pasaran tahunan melebihi AS$50 bilion (RM222.6 bilion), justeru Selangor mesti meletakkan dirinya sebagai pintu masuk ke pasaran aeroangkasa,” katanya.


Pengarang :