Pelawat melihat pelbagai model pesawat dan kapal terbang sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2024 di Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark, Shah Alam pada 12 Septembar 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: SAS 2024 rekod transaksi RM3.2 bilion, tertinggi sejak 2021

Oleh Yasmin Ramlan

SHAH ALAM, 13 DIS: Pameran Penerbangan tahunan Selangor (SAS) 2024 merekodkan nilai transaksi RM3.2 bilion dalam tempoh tiga hari penganjuran, kata EXCO pelaburan.

Ng Sze Han berkata pencapaian edisi keempat pameran penerbangan itu adalah yang tertinggi direkodkan sejak diperkenalkan pada 2021 dengan kehadiran 29,638 pengunjung.

“Pameran itu menyaksikan penglibatan 129 peserta pameran, penceramah, dan pelawat dari 39 negara,” katanya pada sidang media pasca laporan SAS 2024 di Mardhiyyah Hotel & Suites di sini, hari ini.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han ketika Sidang media pasca laporan Pameran Udara Selangor (SAS) 2024 di Hotel Mardhiyyah Shah Alam pada 13 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, SAS 2024 turut melakar pencapaian penting dengan pemeteraian 41 memorandum persefahaman (MoU), hampir dua kali ganda berbanding 28 perjanjian semasa SAS 2023.

“Perjanjian ini menunjukkan kerjasama antara pelbagai syarikat tempatan dan luar negara termasuk tiga dari Singapura dan masing-masing satu dari China, Republik Czech dan Thailand.

“MoU terbabit meliputi pelbagai bidang strategik termasuk pembangunan Selangor Aero Park, kemajuan dalam bahan api penerbangan lestari (SAF), penerbangan elektrik, latihan tenaga kerja, penyelidikan aeroangkasa, dan pengembangan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO),” katanya.

Jelas Sze Han, dengan komitmen terhadap pembangunan bakat generasi akan datang dalam bidang penerbangan, SAS 2024 dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menganjurkan pameran kerjaya yang dinamik.

“Pameran itu menampilkan 37 syarikat penerbangan dan aeroangkasa terkemuka dengan menawarkan peluang kepada bakat muda untuk berhubung dengan pemimpin industri,” katanya.

Beliau menambah, dengan pencapaian pelaburan sebanyak RM66.8 bilion dari Januari hingga September 2024, melebihi sasaran pelaburan RM50 bilion untuk 2024 menjadikan Selangor kekal sebagai destinasi pelaburan.

“Daripada jumlah itu, sektor pembuatan menyumbang RM15 bilion, perkhidmatan (RM51.7 bilion) dan sektor lain (RM38.7). Ini merupakan prestasi yang baik bagi Selangor, khususnya Invest Selangor, yang berjaya mencapai sasaran RM50 bilion untuk tahun ini,” katanya.


Pengarang :