Oleh Adam Taufiq Suharto
Damia masih menatap telefon sejak tadi. Sesuatu mengasyikkanya pada skrin telefonnya; wajah Presiden Republik Metrosia, Muhammad Qalam. Dia segak-karisma dengan ucap berapi-api. Qalam baru 35 tahun, dan telah dilantik sebagai Presiden kurang lebih setahun. Dia menang dengan hampir tak terlawan dalam pilihan raya lepas. Lawannya adalah mantan Presiden yang sudah berusia 90 tahun, selain memerintah hampir 30 tahun, serta ada keinginan untuk memerintah lagi 30 tahun. Menurut penganalisis politik, selain idealismenya, punca lain Qalam menang besar adalah kerana rupa parasnya yang molek, kulit putihnya, rambut perang aslinya, anak matanya yang kebiruan, sesuai dengan baka keturunan Eropah berkacuk pula dengan darah lokal.
Damia masih menatap Presiden pujaannya itu dengan takjub. Untuk Damia, ini juga sebabnya dia mengundi Qalam sebagai Presiden, kekacakannya. Malah, semasa kempen Pilihan raya Presiden, dia juga sibuk-sibukkan diri ke jalan tetapi bukan untuk berkempen sangat. Dia ingin mencuri lihat Qalam depan-depan dan mencuri poster-poster yang terpampang wajah Qalam. Kerana itu, dalam biliknya sekarang penuh dengan poster-poster, kain rentang, bendera yang terpampang wajah lelaki idamannya: Presiden Qalam. Hatinya berbunga-bunga setiap kali memandang wajah Qalam. Namun, ada satu hal yang merunsingkan Damia; pekerjaannya sebagai ‘kupu-kupu malam’. Qalam telah melancarkan kempen untuk mengharamkan penyundalan secara besar-besaran termasuk hukuman gantung sampai mati sehingga Damia, terpaksa mengikat perut. Tapi itu semua tidak mematahkan kasih dan sukanya terhadap Qalam, sehingga setiap hari puja dan angannya terhadap Qalam menjadi rukun hidup.
Pun begitu, Damia masih menjalankan kerja-kerjanya dengan berselindung. Malam itu, usai Damia menjalankan khidmat kepada jirannya, dia tiba-tiba menghalau jirannya itu pulang. Dia menghela nafas panjang. Nafas itu adalah nafas menyampah. Dia mengambil telefon bimbitnya sambil membuka video Presiden Qalam berucap dan dengan tiba-tiba muncul notifikasi daripada media sosial dan lebih menderaukannya, itu notifikasi daripada akaun media sosial milik Presiden Qalam. Dengan menggelupur dan dalam debar, dia membuka media sosial itu, lalu mulai membaca peranggan, ‘Saya akan ke Pinggir Kota untuk melawat warga di sana. Tak sabar untuk menemui anda semua.’ Damia tidak dapat tidur lena malam itu, hatinya berdebar-debar dek tidak dapat membayangkan dia berdepan Qalam.
***
Kedatangan Presiden Qalam disambut meriah. Selain ahli-ahli politik, yang turut berpusu-pusu adalah wanita tak kira tua dan muda yang ingin melihat depan-depan Presiden kesayangan mereka. Kain rentang, poster, topeng terhias penuh di sisi khalayak. Damia duduk di bahagian paling hadapan di tepi jalan, sambil hatinya berdegup-debar ingin bertemu Presiden pilihan hati anak-anak gadis dan ibu-ibu gadis Republik itu. Dalam kerumunan itu, tak siapa pun sedar seorang lelaki dengan pelitup muka, berbaju jaket hitam sedang memegang sepucuk pistol dalam saku jaketnya. Matanya merah memerhati Presiden seolah-olah ada sesuatu yang terpendam yang ingin segera dilepaskan kepada sang Presiden.
Qalam dirai tak ubah seperti selebriti atau tak keterlaluan, seperti dewa yang terlalu bergemerlapan cahaya dan sayapnya. Dia menurunkan tanda tangan, berswafoto dan lain-lain. Namun, Qalam ternyata tak sampai-sampai lagi ke tempat Damia berdiri. Damia semakin tidak sabar tambah cemburu melihat ada anak-anak gadis yang mirip kerasukan berjaya mendakap dan mengucup Presiden Qalam. Semakin Qalam menghampiri, semakin debar Damia. Sesekali dia memeriksa dandanan dan gincu di bibir. Berasa tidak cukup merah, ditambahnya lagi gincu di bibir. Damia dapat melihat kemeja putih Presiden Qalam telah dipenuhi kesan-kesan gincu. Dia mahu gincu di bibirnya juga menjadi salah satu penghias kemeja itu.
Di satu sudut, lelaki yang lengkap jaket hitam tadi sedang memandang tepat dengan mata merah ke susuk Presiden Qalam. Jari telunjuknya kini berada di picu pistol, dan dalam beberapa saat, dia mahu Qalam menemui ajal. Damia yang dari tadi berlawan-lawan dengan inginnya yang mendalam, tak mampu lagi menahan diri. Matanya sudah menjadi merah dan air mata bergenang. Dengan berkobar-kobar, dia melompat melepasi pagar paras pinggang yang memisahkan orang ramai dengan Presiden Qalam dan melaju ke arah Qalam pujaan hatinya. Dia terlalu laju, dan polis-polis dan pegawai-pegawai Qalam, termasuk Qalam hanya sedar apabila dia sudah menghampiri Qalam. Situasi ini menyebabkan Qalam secara spontan lari ke belakang dan dengan tiba-tiba, sedas tembakan kedengaran!
BANG!
Damia terdiam. Dia memandang Presiden Qalam. Qalam memandang dia. Damia melihat perutnya yang sudah melimpah-limpah darah, mencurah-curah di jalan. Dia tiba-tiba rebah. Keadaan menjadi huru-hara! Orang ramai berlari lintang-pukang. Pegawai-pegawai khas Qalam dan anggota keselamatan yang siap berperisai mula mengepung Qalam dan terus membawanya masuk ke dalam kereta yang pantas meluru ke arah Presiden dan anggota keselamatannya. Penembak tersebut terkedu seketika kerana tembakannya tak mengena tapi dia ingin melepaskan sedas tembakan lagi. Tindakan lambatnya menyebabkan beberapa das tembakan daripada polis hinggap pada tubuh dan kepalanya. Sambil-sambil itu, kereta kalis peluru yang membawa Qalam terus beredar.
Damia masih terbaring, mengigil, darah mencurah-curah! Dalam keadaan kaos itu tak ada siapa yang sempat melihatkan dia. Dan dalam keadaan kaos itu juga tiba-tiba satu susuk tubuh perlahan-lahan datang mendekatinya, duduk dan menatapinya. Dan orang itu adalah Qalam. Damia yang dalam keadaan hujung nyawa merasa begitu terhormat, bahagia. Matanya bersinar-sinar, dan terasa hidup semula. Seperti tiada luka, tiada darah, tiada tembakan. Dengan tiba-tiba, Qalam menghulurkan tangan padanya, dan dengan tiba-tiba Damia yang sedang lemah dan separa mati tadi menjadi sihat bertenaga menyambut tangan Qalam. Hatinya berdegup kencang dan tubuhnya terus menguat berdiri. Dan dengan latar kaos, seolah-olah muzik romantis berkumandang lalu tak semena-mena mereka berdua saling menari dan perlahan-lahan saling mendakapi. Damia terharu, mengalir air mata dan perlahan-lahan memejam mata. Ketenangan tadi kembali kecoh. Tak ada lagi muzik romantis berkumandang. Dan Damia sekarang terbaring di atas jalan. Tiada Qalam pun di sisinya. Terpejam mata. Darah mencurah. Tiada siapa mempedulikannya pun termasuk pujaan hatinya, Qalam.