Aksi beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai dalam perlawanan peringkat kumpulan A Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 di Hangzhou China pada 13 Disember 2024. Foto Badminton Association of Malaysia – BAM
AGENDASUKANKINI

Jelajah dunia akhir: Tang Jie-Ee Wei, Soon Huat-Shevon mara separuh akhir

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Dua wakil negara dalam acara beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai, mara ke peringkat separuh akhir Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 di Hangzhou China hari ini, selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan B masing-masing di tempat pertama dan kedua.

Pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Gimnasium Olimpik Hangzhou, Soon Huat-Shevon yang turun dengan misi wajib menang terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan pasangan Indonesia Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja 17-21, 21-15, 21-15, pada aksi yang berlanjutan lebih satu jam.

Shevon dalam audio dikongsikan BWF hari ini berkata beliau gembira dengan kejayaan mereka melangkah ke separuh akhir kejohanan itu, selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2020.

“Kami gembira untuk layak ke separuh akhir. Kami tidak sangka akan pergi sejauh ini.

“Melihat kepada undian awal, kami ada peluang tetapi tidak letakkan harapan tinggi kerana pasangan lain dalam kumpulan kami sangat bagus. Jadi layak ke separuh akhir amat bermakna sekali buat kami,” katanya.


Aksi beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai dalam perlawanan peringkat kumpulan A Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 di Hangzhou China pada 13 Disember 2024. Foto Badminton Association of Malaysia – BAM

Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan selepas mengalahkan wakil Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito.

Pasangan yang berada di ranking kelapan dunia itu, menang 21-17, 21-18, dalam masa 41 minit.

Kedua-dua pasangan negara itu akan turun beraksi di separuh akhir esok, dengan lawan mereka akan diketahui selepas undian yang dijadual berlangsung malam ini.

— BERNAMA


Pengarang :