KOTA BHARU, 14 DIS: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan penyeludupan pelbagai jenis tumbuhan hiasan termasuk orkid dan pokok bidara yang dianggarkan bernilai RM4.5 juta di Kampung Limau Purut, Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang, Rabu lalu.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata pihaknya menahan sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan tugas dalam Op Taring Wawasan Kelantan pada 7 malam.
Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan lebih 15,000 pelbagai jenis anak pokok dipercayai diseludup dari Thailand di dalam kenderaan itu tanpa dokumen sah.
“Suspek lelaki tempatan berumur 53 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup tumbuhan tersebut ke pasaran tempatan dan kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5,” katanya dalam kenyataan semalam.
Nik Ros Azhan berkata suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya.
– BERNAMA