KUALA LUMPUR, 14 DIS: Skuad wanita kebangsaan membawa pulang pingat gangsa apabila tewas 0-2 kepada Amerika Syarikat pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia 2024 di Hong Kong malam tadi.
Pemain nombor 17 dunia Rachel Arnold yang membuka aksi untuk Malaysia menunjukkan semangat juang tinggi dengan memaksa Amanda Sobhy bertarung hingga ke set penentuan namun Rachel akhirnya tewas 9-11, 11-7, 9-11, 11-5, 8-11 selepas 45 minit perlawanan.
Kemudian pemain nombor 10 dunia S Sivasangari diberi tanggungjawab mengikat kedudukan namun beliau tumpas kepada Olivia Fiechter dengan 11-7, 11-9, 5-11, 2-11, 2-11 dalam masa 47 minit.
Kekalahan Sivasangari bermakna Aira Azman yang dijadualkan beraksi sebagai perseorangan ketiga tidak diturunkan pada separuh akhir.
Pencapaian terbaik pasukan skuasy wanita negara adalah pada edisi 2014 di Kanada di mana Malaysia muncul naib juara selepas tewas kepada England di final.
– BERNAMA