KUALA LUMPUR, 11 DIS: Harimau Malaya hampir dimalukan pasukan ‘bawahan’ apabila terpaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Timor Leste 3-2 dalam aksi kedua Kumpulan A saingan Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Ketika Harimau Malaya dijangka meraih kemenangan besar ke atas Timor Leste yang berada di ranking 196 dunia, ia bagaimanapun meleset apabila skuad kendalian Pau Marti Vicente bergelut untuk mencipta jaringan.
Beraksi di hadapan 7,450 penonton, Harimau Malaya yang berada di ranking 132 dunia terpaksa menunggu hingga minit ke-38 untuk membuka tirai jaringan menerusi Syafiq Ahmad yang menyudahkan umpanan Fergus Tierney, lapor Berita Harian.
Kedudukan itu bagaimanapun berubah apabila Timor Leste berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyudah Olagar Xabier pada masa kecederaan babak pertama.
Malah, tiga minit kemudian Timor Leste mengejutkan Harimau Malaya apabila berjaya berada di depan selepas Joao Pedro membuat larian solo sebelum melakukan rembatan lencong untuk menewaskan penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi buat kali kedua.
Paulo Josue melegakan tekanan kem Harimau Malaya apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-70 selepas menyudahkan hantaran Endrick Dos Santos.
Kapten Kuala Lumpur (KL) City itu kemudian muncul wira Malaysia apabila meledak gol kemenangan Harimau Malaya pada minit le-83, sekali gus menyelamatkan maruah skuad negara daripada berdepan detik memalukan di laman sendiri.
Meskipun menang, persembahan yang ditampilkan Harimau Malaya bagaimanapun mencetuskan keraguan sama ada mereka mampu untuk melangkah ke separuh akhir atau tidak kerana selepas ini akan menentang juara bertahan, Thailand dan Singapura.
Ahad lalu, anak buah Vicente juga hampir dimalukan pasukan ranking 180 dunia, Kemboja sebelum bangkit mengikat keputusan seri 2-2 di Stadium Olimpik, Phnom Penh.
Kemenangan ke atas Timor Leste meletakkan Malaysia di kedudukan teratas kumpulan, satu mata mengatasi Thailand dan Singapura yang baru beraksi satu perlawanan.
Timor Leste yang dibelasah Thailand 10-0 dalam aksi pertama Ahad lalu kekal di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.