Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail merasmikan Majlis Perasmian Festival Kampung Tradisi Negeri Selangor di Dataran Pantai Morib,Kuala Langat pada 14 Disember 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Pembangunan moden, nilai tradisi perlu bergerak seiring

KUALA LANGAT, 14 DIS: Pembangunan pesat yang dinikmati Selangor perlu bergerak seiring dengan pengukuhan nilai kebudayaan dan tradisi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin berkata Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memartabatkan kebudayaan khususnya di pinggir desa bagi memastikan Selangor sentiasa kekal dengan peradaban.

“Kemasukan banyak pelabur telah menggerakkan apa yang kita panggil fenomena industrilisasi dan selatan Selangor antara kawasan yang sedang membangun dengan cepat.

“Negeri dan negara maju yang hebat bukan hanya berdiri dengan pembangunan ekonomi dan pelaburan, tetapi ia menjadi hebat kerana ada aspek kebudayaan yang hebat, yang dipanggil ‘soft power’,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman bersama orang ramai ketika Majlis Perasmian Festival Kampung Tradisi Negeri Selangor di Dataran Pantai Morib,Kuala Langat pada 14 Disember 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu beliau menyempurnakan perasmian Festival Kampung Tradisi di Dataran Morib di sini hari ini, yang turut dihadiri EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail.

Festival julung kali itu dianjur bagi memberi peluang peluang kepada pengunjung untuk mengenali cara hidup desa, termasuk ciri-ciri sejarah unik setiap kampung tradisi.

Diadakan selama empat hari, program berkenaan mengetengahkan pelbagai hasil seni, produk buatan tangan, serta makanan warisan yang menjadi identiti unik kampung tradisi di Selangor.

 


Pengarang :