KLANG, 12 DIS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) akan menaik taraf pusat sumbernya tahun depan menjadi galeri warisan yang memaparkan sejarah 134 tahun pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.
Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain berkata sejumlah RM500,000 diperuntuk untuk membangun semula, mereka bentuk, meremajakan dan memberi nafas baharu kepada ruang awam pusat sumber itu.
Beliau menjelaskan galeri itu akan menempatkan gambar-gambar lama yang mempamerkan keadaan Klang dari dahulu hingga kini, cap mohor, pakaian jubah datuk bandar, dokumen dan pelbagai lagi artifak.
“Kerja naik taraf akan bermula pertengahan tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung 2025. Lantikan pihak kontraktor serta konsultan dibuat,” katanya.
Ditemui selepas merasmikan prapelancaran di sini hari ini, Abd Hamid menyatakan galeri itu akan menjadi pusat kajian pelajar dan menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara.
“Ia akan menjadi rujukan pelajar sekolah memandangkan subjek Sejarah wajib lulus. Saya harap ia turut menarik kehadiran pelancong luar negara untuk mengenali Klang dengan mendalam,” katanya.