Masjid Bandar Diraja Klang dengan pemandangan Sungai Klang. Foto Facebook Muhammad Riduan Chik
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBDK susun gerak kerja, serius tingkat kebersihan seluruh Klang

SHAH ALAM, 6 DIS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menyusun gerak kerja berkaitan aspek pembersihan di seluruh kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandarnya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata penyusunan gerak kerja yang akan dilakukan dalam masa terdekat turut melibatkan KDEB Waste Management (KDEBWM).

“Kita adakan mesyuarat penyelarasan berbincang bagaimana hendak membersihkan Klang. Justeru, dalam masa terdekat akan atur gerak kerja memastikan seluruh Klang dibersihkan.

“Operasi pembersihan dijalankan bersama KDEBWM selaku syarikat konsesi yang menyediakan perkhidmatan itu termasuk kutipan sampah. Selain itu, kita akan memfokuskan juga baik pulih infrastruktur,” katanya dihubungi Selangorkini.

Mengulas lanjut, Abd Hamid memaklumkan MBDK akan memohon peruntukan tambahan kepada Kerajaan Negeri sekiranya dana disediakan tidak mencukupi.

“Peruntukan tahun depan telah dibentang dan kita akan gunakan semua sumber yang ada. Namun, sekiranya tidak cukup dan memerlukan dana tambahan kita akan mohon kepada Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain menerima nota serah tugas daripada Timbalannya Mohd Zary Affendi Mohd Arif sempena upacara mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Klang di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada 2 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Semalam, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan dukacita dengan tahap kebersihan Bandaraya Diraja Klang yang masih kotor dan tidak teratur.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah walaupun pembangunan berkembang pesat, masih terdapat kawasan yang kotor termasuk sungai yang teruk tercemar dengan sampah sarap.

Sultan Selangor bertitah Baginda banyak menerima rungutan orang ramai terutama pelancong kapal persiaran yang memasuki Pelabuhan Klang, menyatakan pemandangan di sana dan Klang begitu tercemar dan menjijikkan.

Untuk rekod, Abd Hamid mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Klang yang baharu Isnin lalu menggantikan Datin Paduka Noraini Roslan yang bersara wajib pada November lalu.


Pengarang :