PBTSELANGOR

MBDK tumpu naik taraf kemudahan awam, tingkat keselesaan warga Klang

SHAH ALAM, 11 DIS: Menaik taraf infrastruktur awam antara tumpuan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tahun depan bagi menambah baik perkhidmatan susulan penetapan kadar baharu cukai taksiran.

Datuk Bandarnya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata projek berkepentingan awam itu termasuk menambah baik kemudahan riadah, pasar, dewan, gerai dan lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED).

Beliau menjelaskan projek lain termasuk penyelenggaraan landskap, menaik taraf sistem perparitan, menambah baik pembersihan dan pengurusan sisa pepejal serta perhubungan dan utiliti.

“Kita memberi penekanan kepada (projek) berkepentingan awam dengan memberi perkhidmatan cemerlang khusus untuk warga Klang di samping menjadikannya bersih dan indah,” katanya kepada Selangorkini.

Dalam pada itu, Abd Hamid berkata penetapan kadar baharu cukai itu bermula 1 Januari 2025 dijangka memberi tambahan RM42 juta setahun kepada hasil kutipan cukai MBDK.

Dato’ Abd Hamid Hussain mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Klang kedua di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada 2 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim mengumumkan pemilik harta di Selangor menerima potongan sehingga 75 peratus bagi kadar baharu cukai taksiran tahun depan.

Menerusi pelaksanaan baharu itu, beliau berkata mereka hanya perlu membayar 25 peratus daripada keseluruhan kadar kenaikan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sebelum ini, Media Selangor melaporkan lapan PBT tidak membuat semakan kadar cukai taksiran dalam tempoh antara 20 hingga 40 tahun lalu di kawasan pentadbirannya.

Majlis Perbandaran Kajang paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, Majlis Perbandaran Kuala Langat 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang 32 tahun sejak 1992.

Majlis Bandaraya Subang Jaya pula tidak menaikkan cukai selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway, manakala USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor 28 tahun sejak 1996.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), nilaian baharu boleh dibuat setiap lima tahun atau dalam tempoh lanjutan yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri.

Kali terakhir pada 1992, Majlis Bandaraya Petaling Jaya tidak membuat sebarang kenaikan sejak 33 tahun manakala MBDK pula menggunakan pakai kadar nilaian berusia 31 tahun iaitu sejak 1993.

 


Pengarang :