Foto Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya
PBTSELANGOR

MBSJ agih 60,000 tong sampah percuma, tambah baik prasarana

SHAH ALAM, 12 DIS: Sejumlah 60,000 unit tong sampah berkapasiti 120 liter akan diagihkan secara percuma oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di kawasan pentadbirannya, tahun depan.

Timbalan Datuk Bandarnya Zulkurnain Che Ali berkata ia salah satu inisiatif ke arah menambah baik perkhidmatan perbandaran, pengurusan sisa pepejal dan kerja pembersihan awam, susulan penetapan kadar baharu cukai taksiran.

Menurut Zulkurnain tumpuan lain diberi kepada menyelenggara prasarana, landskap dan lampu jalan selain longkang dan parit bagi mengelak insiden banjir.

“Kita pergi kepada perkara asas seperti kutipan sampah. Jadi tahun depan 60,000 tong sampah akan diagihkan percuma secara berfasa di premis kediaman dan kedai termasuk kawasan kampung untuk mudahkan mereka jaga kebersihan.

“Kenaikan ini, penduduk nak tahu apa yang mereka akan dapat. Jadi di peringkat kita, kita sudah senaraikan apa akan kita buat (tumpu),” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkurnain berkata penetapan kadar baharu itu dijangka memberi tambahan RM46 juta setahun kepada kutipan hasil MBSJ.

Katanya daripada 326,000 pegangan yang boleh dicukaikan di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu, 10,000 bantahan diterima.

“Daripada 10,000 bantahan, yang datang bertemu dengan kita cuma 49 peratus sahaja iaitu tidak sampai 5,000. Jadi apa yang penting kenaikan ini kembali semula kepada rakyat. Diharap mereka akan berpuas hati dengan penambahbaikan perkhidmatan kita nanti,” katanya.

Pada 9 Disember, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim mengumumkan pemilik harta di Selangor menerima potongan sehingga 75 peratus kadar baharu cukai taksiran.

Mereka hanya perlu membayar 25 peratus daripada keseluruhan kadar kenaikan di semua PBT mulai 1 Januari 2025.

Pengecualian cukai taksiran bagi rumah kos rendah di Selangor juga diteruskan bagi tahun kesepuluh tahun depan. Pengecualian tersebut membabitkan nilai berjumlah RM60 juta yang sepatutnya dikutip pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sebelum ini, Media Selangor melaporkan lapan PBT tidak membuat semakan kadar cukai taksiran dalam tempoh antara 20 hingga 40 tahun lalu di kawasan pentadbirannya.

Majlis Perbandaran Kajang paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, Majlis Perbandaran Kuala Langat 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang 32 tahun sejak 1992.

Majlis Bandaraya Subang Jaya pula tidak menaikkan cukai selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway, manakala USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor 28 tahun sejak 1996.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), nilaian baharu boleh dibuat setiap lima tahun atau dalam tempoh lanjutan yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri.


Pengarang :