Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Aini Ahmad ketika menghadiri Karnival Mini Pembaharuan Lesen Perniagaan MPAJ pada 21 Disember 2023. Foto Facebook MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ laksana 54 projek awam, tumpu tingkat keselesaan penduduk

SHAH ALAM, 12 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menumpukan 54 projek awam dengan lima daripadanya berimpak tinggi ke arah mewujudkan pembangunan mampan.

Yang dipertuanya berkata pembinaan jambatan serta menaik taraf persimpangan Jalan Pandan Indah dan Jalan Pandan Mewah dengan kos RM7.3 juta dilaksana bagi menyelesaikan kesesakan trafik kawasan itu.

Jelas Dr Ani Ahmad,  projek lain ialah pemasangan alat instrumentasi pemantauan tanah runtuh di empat lokasi di Bukit Antarabangsa dan Teratai dengan kos RM4.8 juta yang dijangka siap sekitar tahun depan.

“Empat lokasi tersebut ialah Jalan Wangsa 3, Taman Bukit Jaya, Jalan Bunga Melati 1, Jalan Mega 3 dan Jalan Mega 5. Keselamatan penduduk pastinya menjadi tumpuan MPAJ sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau menambah kerja menaik taraf landskap di kawasan lapang Bukit Ampang akan dilaksanakan dengan kos RM275,000 bagi pengindahan bandar yang akan memberi impak besar kepada penduduk sekitar.

Katanya turut menjadi keutamaan ialah kemudahan riadah melibatkan projek menaik taraf padang bola sepak di Jalan AU3/1 Keramat bernilai RM248,000.

“Memahami keperluan penyediaan kemudahan awam seperti dewan, terdapat juga projek pembangunan dewan terbuka di Taman Keramat Permai AU1C yang akan dilaksanakan tahun depan,” katanya.

Menurutnya kenaikan 25 peratus cukai taksiran MPAJ akan membawa kepada pertambahan hasil cukai taksiran pihak berkuasa tempatan itu daripada RM112 juta tahun ini kepada RM132.4 juta pada 2025 dengan kenaikan adalah sebanyak 18.2 peratus atau RM20.4 juta.

Pada 9 Disember, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim mengumumkan pemilik harta di Selangor menerima potongan sehingga 75 peratus kadar baharu cukai taksiran.

Mereka hanya perlu membayar 25 peratus daripada keseluruhan kadar kenaikan di semua PBT mulai 1 Januari 2025.

Pengecualian cukai taksiran bagi rumah kos rendah di Selangor juga diteruskan bagi tahun kesepuluh tahun depan. Pengecualian tersebut membabitkan nilai berjumlah RM60 juta yang sepatutnya dikutip pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sebelum ini, Media Selangor melaporkan lapan PBT tidak membuat semakan kadar cukai taksiran dalam tempoh antara 20 hingga 40 tahun lalu di kawasan pentadbirannya.

Majlis Perbandaran Kajang paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, Majlis Perbandaran Kuala Langat 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang 32 tahun sejak 1992.

Majlis Bandaraya Subang Jaya pula tidak menaikkan cukai selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway, manakala USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor 28 tahun sejak 1996.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), nilaian baharu boleh dibuat setiap lima tahun atau dalam tempoh lanjutan yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri.

 


Pengarang :