Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Shahman Jalaludin pada majlis mengangkat sumpah terima jawatan di Bilik Siantan Menara Majlis Perbandaran Selayang, Selayang pada 05 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPS tumpu projek khidmat awam, beri manfaat terus kepada rakyat

SHAH ALAM, 10 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menumpu kepada pelaksanaan projek khidmat awam berimpak tinggi susulan penetapan kadar baharu cukai taksiran bermula tahun depan.

Yang dipertuanya berkata usaha itu termasuk penambahan lampu solar, tambah baik infrastruktur taman permainan dan taman awam, penyelenggaraan parit, longkang dan jalan raya.

Menurut Shahman Jalaludin, penetapan kadar baharu itu dijangka memberi tambahan RM26 juta setahun kepada hasil kutipan cukai sekali gus memberi ruang kepada pelaksanaan projek kecil namun berimpak tinggi.

“Kita juga akan buka satu lagi pejabat cawangan MPS di Kuang menjadikan tiga secara keseluruhannya setakat ini bagi menambah baik perkhidmatan dengan pembukaan kaunter bayaran kompaun, cukai taksiran dan sebagainya.

“RM26 juta setahun tambahan itu tidak banyak jika nak buat projek-projek besar, mungkin hanya cukup untuk satu atau dua projek. Jadi kita fokus yang kecil-kecil tapi berimpak tinggi dan beri manfaat terus kepada rakyat,” katanya kepada Selangorkini.

Semalam, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim mengumumkan pemilik harta di Selangor menerima potongan sehingga 75 peratus kadar baharu cukai taksiran.

Mereka hanya perlu membayar 25 peratus daripada keseluruhan kadar kenaikan di semua PBT mulai 1 Januari 2025.

Sebelum ini, Media Selangor melaporkan lapan PBT tidak membuat semakan kadar cukai taksiran dalam tempoh antara 20 hingga 40 tahun lalu di kawasan pentadbirannya.

Majlis Perbandaran Kajang paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, Majlis Perbandaran Kuala Langat 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang 32 tahun sejak 1992.

Majlis Bandaraya Subang Jaya pula tidak menaikkan cukai selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway, manakala USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor 28 tahun sejak 1996.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), nilaian baharu boleh dibuat setiap lima tahun atau dalam tempoh lanjutan yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri.


Pengarang :