Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Hijrahpreneur Awards 2024 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada 12 Disember 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Negeri cari sistem terbaik sedia pinjaman usahawan, wujud bank sendiri

SHAH ALAM, 12 DIS: Kerajaan Negeri sedang meneroka sistem lebih mampan bagi menyediakan bantuan pinjaman kepada usahawan, termasuk mewujudkan bank sendiri pada masa akan datang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cadangan tersebut hasil pertemuannya dengan pengasas bank mikrokredit terkemuka dunia Grameen Bank Prof Muhammad Yunus, baru-baru ini.

“Saya tanya beliau apakah kejayaan sistem pinjaman mikrokredit ini sehingga berjaya buka cawangan di 40 negara. Satu nasihat daripadanya, tidak boleh selama-lamanya institusi ini bergerak dengan dana awam atau dana kerajaan. Jadi, kita kini bergerak ke arah tersebut.

“Hala tuju kita belum tentu hari ini atau lima tahun, mungkin sepuluh tahun ke hadapan untuk miliki bank kita sendiri, yang mampu beri pinjaman mikrokredit dengan cara tidak membebankan,” katanya.

Beliau berkata demikian menyempurnakan perasmian Majlis Anugerah Hijrahpreneur 2024 di Pusat Konvesyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Hijrahpreneur Awards 2024 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada 12 Disember 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Majlis yang meraikan dan mengiktiraf pencapaian usahawan turut dihadiri EXCO Keusahawanan Najwan Halimi dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) Dato’ Mearia Hamzah.

Dalam pada itu, Amirudin mengakui mendengar keluh kesah dihadapi usahawan susulan syarat pinjaman Hijrah Selangor yang diperketat sejak beberapa bulan lalu.

Jelasnya, perkara tersebut terpaksa dilaksanakan berikutan ada peminjam yang culas dan mengambil kesempatan enggan membayar hutang sehingga membebankan agensi.

“Saya sedar ada beberapa kritikan yang dilontarkan mutakhir ini kerana syarat pinjaman yang lebih ketat. Tetapi ia dilakukan selepas kita melalui pengalaman.

“Sebenarnya apa yang berlaku ialah kita ingin memastikan pemilihan calon-calon (peminjam) itu adalah calon yang tepat dan bukan mereka yang mahu ambil kesempatan,” katanya.

Oktober lalu, Hijrah Selangor mengenakan syarat tambahan berikutan lebih 30,000 peminjam atau usahawan tidak melunaskan pinjaman dalam tempoh ditetapkan.

Menurut Mearia, tindakan itu dibuat berikutan agensi berkenaan menanggung sejumlah RM206 juta pinjaman tidak berbayar (NPL) sejak 2015 hingga Disember 2023.


Pengarang :