Antara koleksi yang dipamerkan di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang pada 22 November 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Pena bersalut perak, tanduk saksi pengorbanan Selangor buat negara

Pen khas yang digunakan untuk menandatangani dua perjanjian penyerahan Kuala Lumpur dan Putrajaya antara artifak penting di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz di Klang.

Bagi penyerahan Kuala Lumpur pada 1 Februari 1974, pen tersebut diperbuat daripada perak berukiran motif bunga raya. Pen dalam penyerahan Putrajaya pula diperbuat daripada tanduk.

Menurut Pengurus Besar Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Dato’ Munasor Aliyasak, salinan kedua-dua perjanjian itu juga diperaga dalam galeri yang dibuka kepada umum pada 1 November 2007.

Pen khas menandatangani dua perjanjian penyerahan Kuala Lumpur dan Putrajaya antara artifak penting di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Perjanjian Kuala Lumpur ditandatangani di Istana Negara antara Yang di-Pertuan Agong Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dengan DYMM Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Perjanjian setebal lima halaman di atas kulit kambing yang mengandungi perincian enam perkara itu telah mengakibatkan kuasa pentadbiran seluruh kawasan berkenaan diserahkan kepada kerajaan persekutuan.

Peristiwa tersebut suatu pengorbanan besar Kerajaan Selangor berikutan Kuala Lumpur wilayah paling maju di negara ini. Kedudukannya strategik, pembangunannya pesat selain pusat tumpuan perdagangan sejak zaman 1800-an lagi.

“Kalau diperhati, kita boleh nampak jelas kesedihan pada raut wajah DYMM Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada masa itu kerana melepaskan Kuala Lumpur.

“Tetapi inilah salah satu pengorbanan besar Kesultanan Selangor dan negeri untuk negara,” kata Munasor merujuk rakaman detik upacara bersejarah itu yang turut dipapar dalam galeri tersebut pada 22 November.

Bagi penyerahan Putrajaya pula, perjanjian dibuat pada 7 November 2000 yang memperuntuk pemberian selama-Iamanya kepada kerajaan persekutuan untuk menubuhkan pusat pentadbiran negara.

Pen khas menandatangani dua perjanjian penyerahan Kuala Lumpur dan Putrajaya antara artifak penting di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Kepala buaya

Selain itu, kunci rasmi Istana Bukit Kayangan bermotif bunga tanjung pecah sembilan mewakili sembilan daerah dan bintang pecah lima lambang lima Rukun Islam yang diperbuat daripada emas berukir lambang rasmi Sultan Selangor antara artifak di situ.

Kunci berkenaan bersekali rantai juga diperbuat daripada emas. Ia tertulis Istana Bukit Kayangan dan di tengah terdapat lambang rasmi Sultan Selangor.

Mahligai tersebut asalnya istana persendirian Almarhum Sultan Salahuddin. Namun, semasa proses pembinaannya, status itu ditukar sebagai istana persemayaman Baginda. Ia dirasmikan Baginda pada 30 Jun 1977.

Tengkorak buaya pula antara artifak unik yang diperaga di galeri tersebut. Reptilia tersebut dikatakan mengganas pada masa tersebut. Buaya sepanjang 22 kaki atau 6.7 meter itu ditangkap pada 14 September 1961 di Sungai Klang kira-kira tiga bulan selepas Sultan Salahuddin, Sultan Selangor kelapan ditabal pada 26 Jun 1961.

“Buaya yang ganas itu sukar ditangkap tetapi selepas Almarhum menaiki takhta, barulah dapat tangkap. Almarhum kerap menunjukkan tengkorak buaya ini dan bercerita kepada tetamunya.

“Almarhum juga yakin kejayaan menangkap buaya ganas ini dibantu daulatnya sebagai sultan yang baharu,” katanya.

Mengikut keterangan artifak tersebut, reptilia berkenaan ditangkap pawang buaya iaitu Mohd Salleh Abdul Karim dan Ibrahim Abdul Karim sebelum tengkoraknya diabadikan di galeri itu.

Tengkorak buaya antara artifak unik dipamer di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz. Reptilia sepanjang 22 kaki atau 6.7 meter itu ditangkap pada 14 September 1961 di Sungai Klang. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Galeri itu diasaskan Sultan Salahuddin mengambil sempena nama kelahiran Baginda. Premis di Jalan Kota Raja, Kampung Jawa, Klang mulanya dikenali dengan nama Muzium Kenangan.

Pada 2001, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menaiki takhta meneruskan usaha Ayahanda Baginda untuk memindahkan muzium itu ke Bangunan Sultan Suleiman yang siap dibina pada 1909. Ia terbahagi kepada enam bahagian terdiri daripada balai salasilah diraja, balai kenangan, balai darjah kebesaran dan peralatan diraja, balai bakti diraja dan balai khazanah diraja.

Lebih 500 artifak termasuk khazanah zaman kanak-kanak hingga Almarhum menaiki takhta sebagai Sultan Selangor pada 1960 dan Yang di-Pertuan Agong ke-11 pada 1999 diperaga pada satu-satu masa. Artifak tersebut ditukar setiap enam bulan.

Pengurus Besar Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang Dato’ Munasor Aliyasak ditemui pada 22 November 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Terdapat juga koleksi senjata api antaranya pistol model Luger 15 K.L 8mm buatan Jerman yang selalu dibawa Baginda. Turut dipamer, senjata api unik jenis calibre 9mm menyerupai tongkat.

Koleksi lain, aneka keris seperti Sunda, Badek, Tumbuk Lada, Semenanjung, Jawa dan Sundang. Selain itu, tongkat Tentera Udara Diraja Malaysia, tongkat lambang Sultan Selangor dan tongkat berbentuk pedang.

 

Pilih artifak

Pakaian rasmi pertabalan Yang di-Pertuan Agong iaitu muskat dan tengkolok diraja Dendam Tak Sudah juga diperaga di galeri berkenaan. Turut ditempatkan aneka persembahan hadiah pelbagai pihak antaranya model kapal korek, kapal perang lama dan kapal layar.

Menurut Munasor lagi, Sultan Sharafuddin amat mengambil berat artifak di galeri tersebut. Bahkan, Baginda mencemar duli menyinsing lengan bekerja bersama kakitangan galeri menyusun bahan.

“Baginda dengan baju kemeja-T, berseluar jeans datang bekerja bersama kami sekurang-kurang tiga atau empat hari seminggu untuk memilih dan menyusun atur dalam galeri sampailah siap.

“Baginda luangkan masa bersama kami, hingga masuk stor untuk pilih artifak sesuai untuk dipamer. Apa yang tuan-tuan tengok di galeri ini semuanya hasil kerja Baginda.

“Galeri ini sangat dekat di hati Baginda kerana ini inisiatif pertama setelah ditabal sebagai Sultan Selangor,” katanya.

Selain mewarisi koleksi Ayahanda Baginda, Sultan Sharafuddin juga menyimpan aneka khazanahnya tersendiri, antaranya 15 artifak Orang Asli Mah Meri termasuk ukiran patung.

“Tuanku meminati dan menghayati budaya Orang Asli di Selangor. Baginda gemar ke ceruk pedalaman hingga ke kampung Orang Asli. Baginda tertarik dan menghargai hasil kerja mereka terutama kaum Mah Meri.

Pelbagai artifak termasuk Orang Asli dipamer di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

“Baginda ada minat tersendiri mengumpul dan menempatkan artifak secara eksklusif di sini. Baginda sendiri memilih, membeli dan lihat apa cerita atau karakter di sebalik artifak sebelum dipamer,” katanya.

Artifak berkenaan antaranya Poteng Beliung, Moyang Ba’ai, Moyang Tibau, Moyang Melur, Moyang Jerat Rimau Berantai atau Tenong Jerat dan Moyang Pucuk Paku.

Menurut Munasor lagi, Sultan Sharafuddin banyak berkorban masa, tenaga dan kewangan untuk membangunkan galeri berkenaan yang menceritakan perihal kehebatan Kesultanan Selangor.

“Jadi, anak-anak Selangor perlu datang ke galeri untuk menghayati peranan dan pengorbanan Kesultanan Selangor dalam pembentukan dan pembangunan negeri Selangor dan Malaysia,” katanya.


Pengarang :