AGENDAJENAYAH

Pensyarah rugi lebih RM115,000, diperdaya sindiket kerja tidak wujud

BATU PAHAT, 14 DIS: Pensyarah sebuah universiti awam (UA) kerugian RM115,600 akibat diperdaya sindiket pekerjaan sambilan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata kes bermula pada 7 Mei lalu apabila mangsa, lelaki berusia 44 tahun tertarik dengan kerja sambilan ditawarkan kepadanya.

Beliau berkata, pada waktu itu, mangsa ditawarkan kerja dengan suspek menjanjikan keuntungan 15 peratus, lapor Berita Harian.

“Namun suspek meletakkan syarat dengan mangsa diminta mendaftar dan membeli barangan melalui laman sesawang yang diberikan terlebih dahulu.

“Selepas membeli barangan, baharulah mangsa akan menerima keuntungan seperti dijanjikan suspek,” katanya menerusi siaran media.

Menurut Shahrulanuar bermula tarikh itu sehingga 30 September lalu, mangsa memasukkan wang ke dalam enam akaun berbeza secara berperingkat.

Jelasnya, sebaik memasukkan wang seperti diminta, mangsa mendapati laman sesawang diberikan suspek sudah tidak boleh diakses.

“Pada masa sama, mangsa tidak menerima pulangan wang seperti dijanjikan dan ketika itu, barulah mangsa menyedari dia ditipu.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sri Gading, Khamis lalu untuk tindakan lanjut. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.


Pengarang :