Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan bergambar di hadapan Taman Kucing Klang ketika perasmin Taman tersebut di Bandar Bukit Raja Klang pada 18 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Permaisuri cetus taman rekreasi kucing, lindungi haiwan terbiar

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

Sifat keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor terhadap haiwan terbiar dalam beberapa tahun lalu terjelma melalui pembinaan tiga taman kucing.

Titah-titah Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang mementingkan pembelaan haiwan mendorong kepada pembukaan taman kucing di Sepang, Klang dan Shah Alam.

Baginda sendiri menyempurnakan perasmian taman sedemikian di Sepang dan Klang pada 18 Mac 2023 dan 18 Ogos lalu. Baginda juga dijangka merasmikan Taman Rekreasi Kucing Catopia di Shah Alam.

Taman Kucing di Taman Tasik Cyberjaya, Sepang dibuka pada Februari. Sebanyak 200 hingga 300 kucing boleh ditempatkan pada satu-satu masa di kawasan seluas 0.3 ekar atau 1,000 kaki persegi itu. Setakat Mac, ada 31 ekor haiwan berkenaan di situ.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan hadir Majlis Perasmian Taman Kucing Klang di Bandar Bukit Raja Klang pada 18 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Taman yang dibina bagi melindungi kucing jalanan sekitar daerah itu dilengkapi klinik, unit rawatan rapi, unit pemulihan dan unit rawatan ibu dan anak kucing. Majlis Perbandaran Sepang yang mengendalikan taman itu juga melantik panel doktor veterinar supaya kesihatan haiwan berkenaan terjaga.

“Kucing diberi makan, mendapat perlindungan dari kesakitan, derita, kecederaan dan penyakit. Taman ini juga transit bagi kucing terbiar untuk dijadikan haiwan kesayangan mana-mana pihak.

“Kita juga mahu anjurkan hari terbuka untuk menggalakkan pencinta haiwan membawa pulang kucing di sini untuk dipelihara atau membawa mana-mana kucing terbiar ke sini,” kata bekas Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain.

Urus haiwan

Majlis Bandaraya Diraja Klang dengan usaha sama Sime Darby Property pula membina Taman Kucing seluas 200 ekar di Bandar Bukit Raja membabitkan kos RM800,000. Taman yang boleh memuatkan 150 kucing dalam satu-satu masa dilengkapi bilik pemencilan, bilik rawatan, rumah, kawasan bermain dan kamera litar tertutup.

Menurut Datuk Bandar Klang ketika itu Datin Paduka Noraini Roslan, semua kucing diletak dalam pengendalian satu klinik panel veterinar bagi memastikan kesihatan haiwan itu terjamin.

“Kewujudan taman kucing pertama di Klang ini bertujuan menangani isu kacau ganggu yang berlaku disebabkan populasi kucing terbiar yang semakin meningkat ketika ini,” katanya.

Taman Rekreasi Kucing Catopia Shah Alam di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/MEDIASELANGOR

Taman Rekreasi Kucing Catopia Shah Alam di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 pula menyediakan lokasi selamat untuk orang ramai membebaskan haiwan kesayangan mereka untuk bermain-main di persekitaran lapang.

Berkeluasan 300 meter persegi yang menelan kos sekitar RM250,000, kawasan tersebut menyediakan 12 elemen menarik antaranya kolam air pancuran mini, jambatan gantung, terowong laluan, rumput helikopter (rumput kegemaran kucing) dan 10 alat permainan aneka jenis.

Taman yang boleh memuatkan sehingga 20 kucing pada satu-satu masa itu dibuka percuma pada setiap hari mulai 5 Julai hingga 31 Disember dari jam 10 pagi sehingga 7 malam. Majlis Bandaraya Shah Alam juga merancang untuk membina Safari Kucing, sebuah pusat perlindungan berkonsep safari yang dibuka kepada orang ramai.

Sejak 2021 lagi, Tengku Permaisuri Selangor sentiasa mengambil berat isu pengurusan haiwan terbiar termasuk anjing dan kucing dengan memberi pandangan membina.

Terbaharu, Baginda pada 1 April mencadang kaedah pemandulan diguna pakai bagi mencegah pembiakan tidak terkawal. Pada masa sama, Baginda juga memastikan baik kucing mahupun anjing tidak dizalimi.

Penaung Diraja kempen Stray Free Selangor kendalian Persatuan Mencegah Keburukan Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor itu juga menyaran pihak berkuasa tempatan mewujudkan rumah perlindungan haiwan terbiar.

Gelagat kucing ‘Princess Lusy’ mencuri perhatian di Taman Rekreasi Kucing Catopia Shah Alam di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIASELANGOR

Pengarang :