Oleh Sofia Nasir
Sifat prihatin Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor terhadap rakyat diwarisi anakandanya Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor sepanjang mengikuti Gagasan Rumpun Selangor.
Persis Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Tengku Amir Shah tidak kekok meluangkan masa bersama masyarakat sepanjang program ke seluruh pelosok negeri.
Bermula di Hulu Selangor pada Februari, Tengku Amir Shah menghayati kehidupan Orang Asli Hulu Tamu, Batang Kali dengan mencuba kegiatan menyumpit selain memandu kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) di kampung itu.
Baginda turut menggunting rambut pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara Peretak dan berjalan kaki meninjau Santuari Ikan Sungai Chiling di kawasan Hutan Simpan Ulu Selangor.
Menurut Tok Batin di perkampungan Orang Asli Hulu Tamu, Pulan Tembai, perwatakan Tengku Amir yang mesra rakyat membuatkan beliau rasa dekat dengan Baginda.
“Baginda tanya sendiri dengan saya, bagaimana kemudahan di sini, berapa ramai penduduk, kemudahan air bagaimana dan banyak lagi. Baginda bukan datang berkunjung saja, tetapi bertanya kami di sini. Terima kasih kerana ingat kami di sini,” katanya.
Dalam program sama di Hulu Langat, Tengku Amir Shah berkenan mencucuk sate semasa mengunjungi kilang pemprosesan Sate Haji Samuri dan mengacau dodol bersama warga Rumah Pengasih Warga Prihatin.
Baginda juga melepaskan 20,000 anak ikan lampam di Sungai Batangsi, Semenyih dengan memandu ATV sejauh lapan kilometer bersama 50 peserta ke sungai tersebut.
Di Sepang, Tengku Amir Shah berkenan menunggang motosikal untuk beramah mesra dengan penduduk Kampung Bukit Bangkong selain menyertai rewang kenduri rakyat dan menyusuri Sungai Sepang sambil melihat keindahan flora fauna.
Di Petaling pula, Baginda bermesra dengan pengunjung pasar malam Seksyen 7, Shah Alam selain melancarkan dua bas elektrik baharu percuma oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Kenangan terindah
Peniaga pasar malam, Jasnisham Ab Razak menyifatkan kesudian Raja Muda singgah di gerainya dan membeli martabak sebagai kenangan terindah sepanjang 25 tahun berniaga di tapak berkenaan.
“Selama saya menjalankan perniagaan, ini kali pertama saya terima kunjungan kerabat diraja untuk membeli juadah. Kenangan ini saya tidak akan lupakan sampai bila-bila.
“Program sebegini amat bagus kerana mendekatkan rakyat dan raja malah menjadi bukti raja mesra rakyat kerana sudi turun padang ke kawasan seperti ini,” katanya.
Tengku Amir Shah meneruskan siri jelajah Gagasan Rumpun Selangor ke Kuala Selangor dan berkenan menyaksikan pertandingan wau kapal selain berangkat ke Kelip-Kelip Kampung Kuantan serta Rumah Api Bukit Melawati.
Di Kuala Langat, Baginda meninjau operasi penamanan cili di ladang fertigasi selain meraih pengalaman mencabut pokok ubi dan menanam bawang.
Tengku Amir Shah turut menyertai perlawanan persahabatan beregu badminton dengan legenda negara Dato’ Misbun Sidek selain menyaksikan acara sukan rakyat.
Rata-rata penduduk bangga dan gembira dapat bertemu dengan Raja Muda yang disifatkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat.
Suri rumah, Siti Zaleha Khalib, 60, menyifatkan Baginda sangat mesra dengan masyarakat selain sudi mendengar masalah penduduk setempat.
“Program Rumpun Selangor ini merapatkan jurang hubungan antara istana dan rakyat,” katanya.
Di Klang, Baginda menaiki komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad dari stesen Shah Alam ke Klang sebelum menunggang skuter elektrik bagi meninjau kawasan bersejarah dan lokasi tarikan sekitar bandar raya berkenaan.
Siri Jelajah Gagasan Rumpun Selangor yang bertujuan memperkukuh semangat perpaduan dan sistem bermasyarakat diteruskan ke Sabak Bernam sebelum berakhir di Gombak pada akhir tahun ini.
Pelaksanaannya meliputi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.