Orang ramai menyemak dan membayar cukai serta kompaun di kaunter bergerak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat, Hulu Kelang pada 17 Jun 2023. Foto Majlis Perbandaran Ampang Jaya
PBTSELANGOR

Rakyat mahu PBT lebih pantas selesai isu, peka aduan penduduk

GOMBAK, 11 DIS: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini diharapkan lebih responsif dan proaktif dalam menerima serta menyelesaikan aduan penduduk, terutama di kawasan perumahan.

Menerusi tinjauan Media Selangor di sekitar daerah ini, penduduk mahu penambahbaikan dibuat susulan kadar baharu cukai taksiran yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.

Pekerja swasta Jamal Budin, 54, berkata setiap permasalahan tidak kira sama ada kecil atau besar perlu diberikan maklum balas segera demi keperluan dan kesejahteraan penduduk.

Peniaga Jamal Budin, 54 , bercakap kepada wartawan ketika tinjaun Media Selangor berkenaan kenaikan cukai taksiran di Batu Caves pada 11 Disember 2024. Foto HARUN TAJUDIN

“Mengikut pengalaman, saya sendiri ajukan aduan berkenaan longkang tersumbat dan pengurusan sampah, maklum balas diterima tetapi mengambil tempoh agak lama.

“Cukai taksiran akan naik bermula tahun depan, jadi tahap perkhidmatan tidak boleh lagi berada di takuk lama,” katanya ketika ditemui.

Peniaga Faizal Johar, 50, turut berharap PBT lebih bekerja keras dan peka terhadap isu semasa dan permasalahan rakyat, terutama penyelenggaraan sistem perparitan.

“Kadar baharu cukai taksiran tidak menjadi masalah, namun penduduk harap khidmat diperbaharui, ditingkat dan segera selenggara infrastruktur,” katanya.

Perunding jualan Jothiswary Chinakaruppan, 38, bercakap kepada wartawan ketika tinjaun Media Selangor berkenaan kenaikan cukai taksiran di Batu Caves pada 11 Disember 2024. Foto HARUN TAJUDIN

Perunding jualan Jothiswary Chinakaruppan, 38, pula mahu PBT menyediakan perkhidmatan efisien, terutama jadual kutipan sampah bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Sistem pengutipan sampah kadangkala tidak mengikut jadual menyebabkan longgokan dan ada penduduk membuang sampah di sungai. Saya harap isu ini dapat diatasi,” jelasnya.

Isnin lalu, EXCO kerajaan tempatan berkata pemilik harta di Selangor menerima potongan sehingga 75 peratus kadar baharu cukai taksiran berbanding 100 peratus yang sepatutnya dibuat.

Berikutan keputusan itu, Ng Suee Lim memberitahu mereka hanya perlu membayar 25 peratus daripada keseluruhan kadar kenaikan di semua PBT mulai 1 Januari 2025.

 


Pengarang :