SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan Negeri akan melaksana sesi libat urus bersama semua pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung penggunaan kamera badan kepada anggota penguat kuasa.
Menyifatkan cadangan penggunaan kamera badan sebagai langkah baik, EXCO kerajaan tempatan berkata bagaimanapun pelaksanaannya bergantung kepada kemampuan kewangan setiap PBT.
“Ini satu cadangan yang akan kita cuba tetapi perlu mengikut kadar kewangan PBT. Kalau kadar kewangan pada tahap baik, mungkin kita boleh laksanakan secara berperingkat.
“Kita akan buat sesi libat urus dengan semua PBT terlebih dahulu sebelum perkara ini dikuatkuasa,” kata Dato’ Ng Suee Lim pada sidang media di Wisma Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Pada 2020, Kerajaan Selangor berhasrat mempertimbang penggunaan kamera badan bagi menjamin keselamatan anggota penguat kuasa PBT dan orang awam, terutamanya jika berlaku insiden di luar dugaan.
Sementara itu, Suee Lim berharap kejadian membabitkan seorang penyanyi wanita yang mendakwa dirakam anggota penguat kuasa PBT ketika sedang berurut, dapat diselesaikan dengan baik.
Menurutnya, kejadian berkenaan terjadi ketika PBT berkenaan melakukan operasi di premis rumah urut dan mungkin terdapat salah faham antara kedua-dua pihak.
“Dalam bab ini, memang ada salah faham sehingga ada pergaduhan dalam itu (premis) antara penguat kuasa dan artis itu sendiri. Saya berharap perkara itu tidak akan berulang pada masa akan datang,” katanya.
Sebelum ini, tular rakaman video dimuat naik seorang penyanyi wanita mendakwa terdapat anggota penguat kuasa merakam dirinya yang tidak berpakaian ketika sedang berurut di sebuah pusat kecantikan dan kesihatan di Subang Jaya.